Ramai Hilang Kerja, PM Bubar Jasa, SPAD, MPN Dan JKKKP


Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meng­umumkan pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara.

Jelas beliau, pembubaran agen­si-agensi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kos pentadbiran selain daripada menghentikan pegawai-pegawai kontrak kerajaan yang merupakan lantikan politik.

“Kita tumpukan kepada pegawai dan kakitangan yang dilantik secara anugerah politik, bukan kita perlukan mereka sangat tetapi ada kes-kes yang kerajaan (dahulu) belanja wang semata-mata untuk beri peluang kepada penyokong-penyokong mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama pentadbirannya di Bangunan Perdana Putra,
semalam.

Yang hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan 12 anggota jemaah menteri lain.,

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, tugas-tugas yang dijalankan oleh SPAD akan dikembalikan kepada Kementerian Pe­ngangkutan manakala Jasa pula akan dibubarkan.

Berhubung sebab pembubaran MPN, katanya, banyak unsur-unsur politik dalam badan itu sehingga dipergunakan untuk mendukung kerajaan dahulu dan beliau tidak berhasrat meneruskan amalan-amalan lepas.

Mengenai JKKKP, beliau memberitahu, tindakan pembubaran berikutan kewujudan JKKKP se­­olah-olah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri yang bukan dimiliki kerajaan selain kebanyakan tugas dijalankan adalah berunsur politik dan bukannya pentadbiran.

“Jumlah pegawai kontrak lantikan politik mencecah 17,000 orang. Apa yang kita akan lakukan adalah menamatkan kontrak mereka tetapi kita akan libatkan kembali mereka yang benar-benar penting serta mereka yang berpendapatan rendah dan bukannya yang berkaitan politik,” ujarnya.

Ketika ditanya pemberita me­ngenai agensi-agensi lain se­perti Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Agensi Inovasi Malaysia (AIM) serta Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (Magic), Dr. Mahathir berkata, beberapa agensi-agensi yang dibiayai kerajaan tetapi hanya bertanggungjawab menasihatkan kerajaan, akan turut dimansuhkan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menegaskan, penyusunan semula pentadbiran perlu dilakukan kerana situasi hutang negara yang sudah mencecah sebanyak RM1 trilion.

“Kita juga tentukan bahawa dalam proses kita untuk pengurangan ini, tidak ada mereka yang bergaji rendah yang akan jadi mangsa,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi me­ngurangkan beban kewangan kerajaan, pihaknya juga dalam proses kajian semula terhadap projek-projek mega yang diluluskan oleh pentadbiran dahulu.

“Sudah tentu ada projek yang kita mungkin gugur, ada yang mungkin kita hentikan, ada juga mungkin kita buat rundingan semula untuk kurangkan kos " katanya.

Sumber Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com