TOKYO - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau bersedia untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri jika itu adalah kehendak rakyat atau selagi mereka memerlukan khidmat beliau.

"Tetapi sudah tentu, saya tidak tahu berapa lama saya sendiri akan bertahan," katanya sambil menambah bahawa dalam tempoh dua tahun lagi beliau akan berusia 95 tahun.

Berucap pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-24, Isnin, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau sudah menjadi Perdana Menteri tertua di dunia.

"Ia akan menjadi satu rekod jika saya mencapai usia 95 tahun dan masih menjadi Perdana Menteri," katanya secara bergurau.

Beliau menegaskan bahawa apa yang difikirkannya adalah berkhidmat kepada negara.

"Jika itulah apa yang rakyat mahu saya lakukan, saya akan mengikut kehendak mereka," katanya

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri untuk kali kedua bulan lepas selepas mengetuai gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk meraih kemenangan yang menakjubkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003. Dr Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun. - BERNAMA


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan untuk melaksanakan projek pengangkutan awam, berbanding projek kereta nasional baharu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan sepatutnya meneruskan projek pengangkutan awam seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Tren Aliran Massa 3 (MRT3).

Katanya, langkah untuk mewujudkan satu lagi projek kereta nasional dengan melaksanakan semula langkah perlindungan hanya akan membebankan rakyat dengan kenaikan harga kereta dan kos pembiayaan.

"Semasa menjadi Perdana Menteri, antara keutamaan saya ialah mengurangkan harga kereta secara berperingkat dengan mengurangkan cukai serta memperkenalkan insentif, selain memperluaskan projek pengangkutan awam.

"Hasilnya, harga kereta ketika ini lebih rendah berbanding ketika saya mula menjadi Perdana Menteri, manakala penggunaan pengangkutan awam pula meningkat.

"Dalam jangka masa panjang, langkah memperbetulkan masalah legasi lalu ini akan menguntungkan rakyat dengan nilai ratusan bilion Ringgit, di samping menyediakan alternatif pengangkutan yang lebih cekap, kos efektif serta kurang kesesakan dan pencemaran.

"Jangan batalkan projek pengangkutan awam semata-mata kerana saya laksanakannya dan kembali kepada projek lama atas sebab maruah yang hanya akan membebankan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, semalam.

Najib mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan Malaysia akan memulakan projek kereta nasional baharu menerusi kerjasama dengan negara serantau lain, ketika sesi dialog Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia di Tokyo, semalam.

Pengumuman Dr Mahathir itu turut mengundang kritikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkannya sebagai langkah regresif dan terkebelakang.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek MRT3, manakala pembatalan HSR pula tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura kerana implikasi kewangan yang tinggi.

Sumber: BH Online

SEPULUH malam terakhir Ramadan akan tiba ke penghujung tidak berapa hari sahaja lagi dan pecutan untuk mengutip segala ganjaran pahala yang disediakan dari awal hingga akhir bulan mulia ini sepatutnya semakin hebat.

Apatah lagi, ketika ini hadiah cepu emas sedang menanti mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkannya, iaitu malam lebih baik daripada 1,000 bulan seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Qadar.

Firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr; Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." (Al-Qadr: 1-5)

Pastinya, kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang rugi, iaitu tidak melakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan pahala berlipat ganda dan kurniaan lain disediakan Allah SWT, khususnya malam yang menyamai 1,000 bulan.

Simbolik Ramadan ditutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga menunjukkan mudahnya untuk masuk syurga serta susahnya ke neraka kerana pintunya ditutup. Sesuai sebagai bulan kebaikan, sepatutnya kita melakukan amalan baik sepanjang bulan puasa ini.

Panel Syariah Koperasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohd Fauzi Mustaffa, berkata hikmah digalakkan meraikan bulan Ramadan setiap tahun sebagai Ramadan yang terakhir kerana hakikatnya kita tidak mengetahui apakah masih berpeluang bertemu Ramadan akan datang.

Beliau berkata, disebabkan itu umat Islam sewajarnya mengoptimumkan peluang yang ada ini untuk melakukan yang terbaik dari segi amalan puasa, bersahur, solat Tarawih, bersedekah, membaca al-Quran dan beriktikaf.

Ibarat banduan akhir

Katanya, ibarat banduan akhir yang menantikan saat kematian, begitu jugalah umat Islam sepatutnya dirasakan dalam melaksanakan ibadah pada bulan puasa ini, seolah-olah ia adalah Ramadan terakhir mereka.

"Banduan akhir 'tahu' saat kematian, maka setiap peluang yang ada digunakan untuk bertaubat, menunaikan solat sebanyak yang mungkin dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

"Kita yang tidak tahu bila tibanya ajal sepatutnya lebih-lebih lagi kerana mungkin ini Ramadan terakhir kita. Oleh itu, jangan bertangguh, terutama pada minggu penghujung Ramadan ini, rebut semua peluang sebelum ia meninggalkan kita," katanya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW menyebut, Allah SWT suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu dengan 'itqan' (sempurna), maka setiap ibadah yang dilakukan hendaklah dibuat sebaik mungkin.

Menurut Mohd Fauzi, Ramadan juga adalah bulan terbaik melakukan perubahan kerana statusnya sebagai bulan penuh keberkatan, rahmat serta pengampunan, tetapi semua itu hanya berjaya jika disertakan semangat yang kuat.

Nekad untuk berubah

Allah SWT tidak akan mengubah nasib seseorang jika mereka tidak mengubah apa yang ada dalam diri, iaitu sikap. Anehnya, tidak ramai yang menanamkan nekad untuk berubah pada Ramadan disebabkan bagi mereka Ramadan tiada beza dengan bulan yang lain.

Sedangkan, setiap yang dilakukan pada bulan penuh keistimewaan ini baik puasa, Tarawih, sedekah, tadarus, semuanya menggugurkan dosa. Justeru, rugilah mereka yang tidak mengambil peluang ini dan melakukan perubahan.

Beliau memberi contoh golongan yang diceritakan dalam ayat 12, surah as-Sajadah, bagaimana orang yang berbuat maksiat di dunia akan tunduk di hadapan Allah SWT dan memohon supaya dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal soleh.

"Inilah orang yang menyesal di akhirat kerana tidak memanfaatkan apa yang Allah SWT beri di dunia. Dalam hadis diriwayatkan Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah, Rasulullah SAW bersabda, orang yang bijak ialah yang beramal untuk selepas mati.

"Hayati kata-kata hikmah, bekerja kamu untuk dunia seumpama kamu akan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seolah-olah akan mati esoknya. Jangan bertangguh untuk buat baik," katanya.

Mengenai kejayaan tarbiah pada madrasah Ramadan, Mohd Fauzi berkata, ukurannya dapat dirasakan sendiri oleh yang empunya diri kerana ulama menjelaskan tiga perkara untuk melihat puasa kita tulen atau palsu.

Caranya, dengan melihat adakah selepas berakhir Ramadan kita masih melakukan perkara buruk, kembali bergaul dengan kawan yang tidak baik dan terus menghadiri majlis tidak elok.

Puasa yang berkualiti dapat dinilai apabila kita meneruskan ibadah yang dibuat pada Ramadan seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, bersedekah dan beriktikaf. 

Sementara itu, kesan puasa pada orang yang berjaya mencapai matlamat takwa pula ialah yang lalai ingat kepada Allah SWT, yang fasik akan taat, ibadah menjadi ringan, manakala maksiat semakin berat.

Sumber: BH Online

KUALA LUMPUR – Jika 2017 mencatatkan tempoh sela pembayaran gaji terpanjang sebanyak 42 hari, 2018 pula akan lebih mencabar apabila penjawat awam terpaksa menunggu 48 hari untuk mendapat bayaran gaji yang berikutnya.

Tempoh 48 hari ini bermula selepas gaji bulan Jun dibayar pada 7 haribulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Gaji untuk Julai dijadual hanya akan diterima pada 25 Julai nanti.

Lazimnya gaji penjawat awam dibayar pada 25 haribulan setiap bulan tetapi dalam keadaan tertentu seperti musim perayaan, pembayaran gaji dibuat lebih awal.

Bayaran gaji awal juga boleh berlaku pada hari Khamis terdekat dengan tarikh 25 haribulan sekiranya tarikh itu jatuh pada hari-hari antara Jumaat, Sabtu atau Ahad.

Sepanjang tahun 2018 sahaja pembayaran gaji awal dibuat sebanyak empat kali. Semuanya dilakukan bersempena hari perayaan. Bayaran gaji awal pertama tahun ini adalah sempena Tahun Baru Cina pada 8 Februari (17 hari lebih awal).

Ini diikuti bayaran awal sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 7 Jun (18 hari lebih awal), Hari Raya Aidiladha pada 14 Ogos (11 hari lebih awal) dan Hari Krismas 18 Disember (5 hari lebih awal).

Berbanding pada 2017, pembayaran gaji awal sepanjang tahun berkenaan dibuat sebanyak tiga kali iaitu sempena Tahun Baru Cina dan Thaipusam, masing-masing pada 19 Januari 2017, Hari Raya Aidilfitri (15 Jun) dan Hari Deepavali (11 Oktober).

Daripada sela 30 hari yang biasa dilalui, tempoh antara pembayaran gaji boleh meningkat kepada 48 hari iaitu tempoh hampir 50 peratus lebih panjang daripada biasa!

Untuk rekod, selain jarak 48 hari yang dinyatakan di atas, sela antara bayaran gaji awal pada 2018 ialah sempena Tahun Baru Cina pada 8 Februari hingga 22 Mac dan Hari Raya Aidiladha pada 18 Ogos hingga 25 September masing-masing adalah 42 hari.

Sela bayaran gaji awal sempena Hari Krismas pada 18 Disember hingga 24 Januari 2019 pula adalah 37 hari.

Bayaran gaji awal sememangnya dinanti-nantikan para penjawat awam. Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban peningkatan keperluan berbelanja sempena hari perayaan tetapi jika perbelanjaan tidak dikawal, ia boleh mendatangkan mudarat.

Bayangkan jika dompet semakin “menipis” dan gaji yang diperoleh lebih awal itu sudah hampir habis dibelanjakan, sedangkan tempoh bayaran gaji yang berikutnya begitu panjang.

Untuk sambutan hari raya, banyak belanja diperlukan seperti membeli baju raya dan perhiasan rumah, servis kenderaan dan peruntukan duit raya. Oleh itu perancangan perbelanjaan amat penting.

Selain berbelanja berdasarkan keperluan, membuat catatan rancangan belanja dan lejar perbelanjaan juga boleh membantu mengelak daripada “poket menjadi koyak!”

Macam-macam cara boleh digunakan untuk mencatat perbelanjaan. Daripada cara konvensional menggunakan pen dan kertas hinggalah penggunaan teknologi terkini seperti templat belanjawan yang tersedia dalam perisian Microsoft Excel.

Bagi yang menggunakan telefon pintar, urusan mereka jadi lebih mudah dengan adanya pelbagai aplikasi pintar untuk mengawal perbelanjaan yang boleh dimuat turun secara percuma.

Berdasarkan artikel dalam laman sesawang The Droid Guy (www.thedroidguy.com) yang ditulis pada 28 Mei lepas, terdapat lima aplikasi pengurusan kewangan peribadi paling popular iaitu Mint, Spendee, Wallet Budget Money Tracker, Mvelopes Budget App dan Penny.

Di Malaysia, aplikasi ‘Buku 555 – Pengurus Hutang Anda’ menjadi buah mulut pengguna telefon pintar kerana mengingatkan kembali nostalgia penggunaan buku nota 555 yang biasa digunakan untuk merekod nota termasuk hutang di kedai runcit dan kedai makan hanya dengan seruan “Masuk buku, boss!”

Perlu juga diingatkan agar kita tidak berbelanja berlebih-lebihan sehingga membazir untuk sambutan hari raya bahawa sebarang perbuatan yang menjurus kepada pembaziran ditegah agama.

Selain mengawal perbelanjaan, menambah sumber pendapatan juga adalah satu langkah yang boleh dipertimbangkan.

Sempena hari raya jualan kuih raya, baju kurung, selendang, pewangi, serunding, muruku, kerepek dan aksesori kenderaan dilaporkan meningkat. Mereka yang berminat boleh menggunakan peluang berniaga untuk barangan berkenaan.

Selain itu, jualan secara dalam talian sebagai “dropshipper” juga satu pilihan yang semakin mendapat perhatian pada masa ini kerana ia tidak memerlukan modal yang besar selain boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Ada juga yang menawarkan perkhidmatan membersih rumah dan premis perniagaan. Bagi mahasiswi, perkhidmatan pengasuh kanak-kanak juga satu peluang yang boleh diterokai mengambil peluang di sebalik kesibukan para ibu bapa bekerja dan menyediakan keperluan hari raya.

Apa yang penting, di sebalik keghairahan menyambut lebaran, seseorang penjawat awam perlulah membuat perancangan perbelanjaan yang baik.

Janganlah waktu hari raya, semuanya nampak gah dan hebat tetapi akhirnya terpaksa makan mi segera atau serdak kuih raya, lebih parah apabila terpaksa “mengikat perut” sementara menunggu hari gaji seterusnya.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) – BERNAMA

ALOR SETAR - Polis Kedah mengenal pasti lima lokasi hitam kerap berlaku kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan perlu diberi perhatian serius dalam Op Selamat sempena Aidilfitri bermula 8 Jun hingga 22 Jun depan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner, Dr Zainal Abidin Sabtu berkata, lokasi blackspot ataupun hitam berkenaan dikenal pasti di lima daerah.

Menurut Zainal Abidin, antara daerah dikenal pasti ialah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Pendang dan Bandar Baharu.

“Dua laluan di Kuala Muda, iaitu KM109.4 Lebuhraya Utara Selatan dan KM83.3 Lebuhraya Utara Selatan dikenal pasti sebagai kawasan hitam.

“Manakala, KM46.5 Lebuhraya Utara Selatan adalah lokasi hitam di Kota Setar, KM20 Lebuhraya Utara Selatan (Kubang Pasu), KM 63.1 Lebuhraya Utara Selatan (Pendang) dan KM171.3 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara (Bandar Baharu,”katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 13 sempena Hari Raya  Aidilfitri  2018  peringkat Kontinjen Kedah di perkarangan Pekan Rabu, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Sehubungan itu, menurutnya, seramai 3,800 anggota dan pegawai polis serta agensi luar terlibat dalam Op Selamat 13/2018, iaitu seminggu sebelum dan seminggu selepas Aidilfitri itu.

Zainal Abidin berkata, anggota terlibat dalam Op Selamat berkenaan akan ditempatkan di lima lokasi kerap berlaku kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan tersebut.

Katanya, pihaknya juga akan memberi tumpuan dengan melakukan rondaan di 18 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas dan mewujudkan 11 pondok statik di lokasi terlibat.

Beliau berkata, antara lokasi panas  ialah KM8 Jalan Alor Setar-Kangar, Jalan Ayer Hangat, Jalan Kobah-Titi Haji Idris, Jalan Sungai Petani-Alor Setar dan Jalan Batas Paip.

Menurutnya, langkah berkenaan dilaksanakan demi meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan, malah orang awam diseru untuk mengutamakan keselamatan, berhati-hati dan mematuhi peraturan.

Sumber: Sinar Online

ALOR SETAR - Perkhidmatan kaunter pandu lalu Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang diperkenalkan tahun lepas mendapat sambutan baik dari orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, perkhidmatan kaunter dibuka di Menara Zakat di Jalan Telok Wanjah, di sini, mendapat sambutan luar biasa.

Katanya, orang awam menyambut baik perlaksanaan perkhidmatan kaunter berkenaan memandangkan mereka boleh terus membuat bayaran zakat fitrah tanpa turun dari kenderaan masing-masing.

“Ada yang menaiki kereta yang membuat bayaran dengan melalui kaunter itu, malah ada datang dengan menaiki motosikal demi membuat bayaran zakat fitrah itu.

“Malah, kutipan zakat meningkat dengan sistem bayaran zakat secara dalam talian yang diperkenalkan demi memudahkan urusan orang ramai,”katanya.

Syeikh Zakaria berkata, kadar zakat fitrah ditetapkan kekal RM7 seorang seperti tahun lepas, bagaimanapun bayaran zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras turut diperkenalkan tahun ini.

“Selain bayaran zakat fitrah RM7, kita juga memberi pilihan kepada orang ramai untuk membayar zakat mengikut kemampuan masing-masing, iaitu beras Super Import bernilai RM14 dan beras Basmathi bernilai RM21,” katanya.

Sumber: Sinar Online

ALOR SETAR - Kenyataan Pengerusi Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh ke atas PAS berhubung isu perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat lebih bersifat spekulasi dan kebudak-budakan apabila tidak memahami situasi yang berlaku.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakharuddin Fakhrurazi, berkata Dr Ismail sepatutnya menunjukkan contoh berjiwa besar serta mempunyai sikap keterbukaan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menjadi kesalahan andainya jawatan Speaker DUN diserahkan kepada PAS yang mempunyai 15 kerusi.

Katanya, tindakan terbabit tidak menjejaskan pentadbiran negeri kerana jawatan kepemimpinan sedia ada seperti Menteri Besar dan barisan EXCO terdiri dari kalangan ADUN PH.

"Kenyataan Dr Ismail lebih berbaur emosi dan tidak matang sedangkan dirinya itu adalah seorang pemimpin yang berpengalaman. Sikap menuduh secara tidak langsung memperlihatkan sikap tidak profesional beliau dalam mengurus politik Kedah yang penuh dengan seni.

"Tuduhan melulu kononnya PAS gila kuasa mendesak agar berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak berasas sama sekali kerana semuanya bergantung kepada nasihat dan budi bicara Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Sultan Kedah.

"Bagi mengatasi isu terbabit, semua pihak perlu menjadikan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah sebagai asas penyelesaian kepada kemelut ini dan tidak mewujudkan suasana tegang serta cuba menimbulkan kekeliruan dan curiga dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Dr Ahmad Fakharuddin menganggap tidak adil meletakkan tekanan kepada PAS dalam isu Speaker DUN sedangkan jalan keluar sudahpun ditawarkan dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang menjadi amalan di beberapa negara Eropah.

"Amalan terbabit bukanlah sesuatu yang baharu dalam amalan demokrasi maka PAS mengambil amalan terbabit sebagai jalan penyelesaian isu penyelesaian bagi DUN Kedah," katanya.

Mengulas mengenai kerajaan perpaduan, Dr Ahmad Fakharuddin berkata, Dr Ismail juga dilihat tidak memahami konsep amalan terbabit apabila meminta PAS mengamalkannya di Kelantan dan Terengganu.

"Adakah beliau (Dr Ismail) tidak menyedari bahawa PAS memiliki majoriti yang cukup di dua negeri terbabit maka kenapa perlu mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya.

NSTP semalam melaporkan Dr Ismail yang juga EXCO Penerangan, Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar negeri menyifatkan PAS gila kuasa dan tamak apabila masih terus berpolemik mengenai perlantikan Speaker DUN Kedah dengan menyatakan kesediaan menghadapi PRN.

Ia susulan Sabtu lalu, media melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pihaknya bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk PRN jika isu pelantikan Speaker DUN gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Sumber:BH Online

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Pas untuk mencalonkan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi sebagai bakal Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bersidang pada awal Julai depan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Dr. Ismail Salleh berkata, kenyataan pemimpin Pas yang membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku di Kedah menyerlahkan sikap sebenar parti itu yang tidak memahami mesej rakyat dan tamak kerana inginkan kuasa dengan cara tidak betul.

“Pilihan Raya Umum yang lalu memberikan kemenangan 18 kerusi PH, 15 (Pas) dan tiga (UMNO). Ekoran keputusan itu, Pas menampakkan sifat sebenar mereka iaitu gila kuasa untuk juga memerintah Kedah dengan mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan di Kedah tetapi malangnya ditolak oleh PH Kedah.

“Setelah cadangan mereka ditolak Pas masih tidak berputus asa, menzahirkan sifat tamak halobanya dengan meminta pula jawatan Speaker DUN. Mereka juga menamakan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Fakhrudin Fakhrurazi sebagai bakal Speaker,” katanya di sini semalam.

Akhbar melaporkan, Pas menjangkakan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang belum selesai sehingga kini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi sekarang kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan pembangkang masih lagi dalam keadaan ternanti-nanti.

Tambah Dr. Ismail, ekoran daripada itulah Pas dengan nada ugutan akan berlakunya PRN apabila pemilihan Speaker nanti diramalkan mereka akan berakhir dengan undian 18/18.

“PH sudah tentu ada 18 undi dan Pas ada 15 undi. Mereka mengharapkan tiga undi dari UMNO untuk mengcukupkan 18 undi. Di kala UMNO berada dalam keadaan nazak dengan tiga kerusi DUN dan Kerajaan Pusat adalah kerajaan PH kemungkinan UMNO menyokong Pas adalah terlalu kecil.

Lalu peluang undian 18/18 hampir mustahil,” katanya.

Tambahnya, Pas seharusnya menghormati kehendak rakyat yang membuat keputusan.

Sumber: UTUSAN ONLINE



KUALA LUMPUR – Exco Puteri UMNO, Dira Abu Zahar menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sama ada bertanding atau tidak bagi jawatan Puteri UMNO.

Jelas Dira, segala spekulasi yang timbul sebelum ini sama ada di media sosial atau di media cetak hadir dari pihak lain dan bukan kenyataan daripadanya.

Dalam masa sama, Dira ingin menghentikan spekulasi dengan mengumumkan bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan Majlis Tertinggi UMNO.

“Ini merupakan kenyataan pertama daripada Puteri UMNO dan kerana sebab itu mana-mana rakan yang bertanya, saya akan beritahu tunggu kepimpinan umumkan.

“Hari ini beberapa nama disebut untuk bertanding di tempat berbeza dan saya nak tekankan saya akan bertanding di Majlis Tertinggi dengan izin,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Dira berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Mesyuarat Exco Puteri UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, kelmarin.

Minggu lalu, kecoh di media sosial dan juga portal berita bahawa Dira akan bertanding untuk memegang jawatan Ketua Puteri UMNO yang kemudiannya dinafikan beliau.

Dalam pada itu, Dira berkata, kepimpinan Puteri telah mengumumkan supaya terdapat kelonggaran serta pengecualian dari segi syarat tempoh keahlian untuk bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Ujarnya, kelonggaran tersebut diberikan bagi memberi ruang kepada lebih ramai golongan muda untuk bertanding memandangkan ramai di antara mereka yang cemerlang dan menunjukkan potensi yang baik.

“Jika UMNO masih menetapkan ikut perlembagaan ikut tempoh, saya percaya Puteri UMNO akan cuba menyelesaikan sekiranya perlu itu terpulang kepada mereka.

“Saya akur dan boleh berkongsi hingga setakat itu dan akhirnya biarlah Majlis Tertinggi dan Puteri UMNO dan ketua sayap selesaikan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata beliau akan mempertimbangkan semula untuk bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, sejak mengumumkan tidak bertanding, beliau menerima banyak rayuan dan desakan supaya mempertimbangkan semula keputusannya itu. 

Sumber: MYNEWSHUB.CC/EZ


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan dana yang digunakan bagi membiayai umat Islam menunaikan haji adalah dari sumber yang halal.

BERIKUT KENYATAAN PENUH:

“Di sebalik meyakinkan ramai rakyat Malaysia sebelum Pilihanraya Umum ke-14, kononnya saya mencuri berbilion dana 1MDB, Tun Mahathir kini berkata, tanpa bukti kukuh, menahan atau mendakwa saya di mahkamah adalah tidak mudah.

“Beliau turut berkata bukti tidak kukuh dan jika saya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka segala tuduhan yang dilempar dan tindakan oleh Pakatan Harapan selama ini akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Dengan berkata demikian, Tun Mahathir telah mengaku PH membuat segala tuduhan itu terhadap saya tanpa bukti kukuh.

“Ia juga membuktikan kertas pertuduhan yang didakwa sudah disediakan untuk mendakwa saya pada 2015 adalah tidak benar dan sebahagian dari konspirasi menggunakan individu tertentu di dalam pentadbiran kerajaan untuk menggulingkan saya.

“Pada ketika itu, kenyataan saya tidak pernah diambil oleh SPRM, justeru bagaimana pula ada kertas pertuduhan?

“Hanya sekarang, mereka mahu melakukan justifikasi kepada tuduhan mereka dengan mencari ‘bukti’, sama ada ia benar, diimaginasikan atau direka.

“Saya ingin ulangi, bahawa saya tidak menerima faedah mahupun mencuri wang dari 1MDB atau mana-mana pihak. Jika saya didakwa atas alasan politik, saya yakin mahkamah akan membuktikan saya tidak bersalah.

“Berbeza dengan Perdana Menteri ke-4, anak saya tidak memiliki syarikat senarai awam, memiliki kereta mewah ‘supercar’ bernilai berjuta Ringgit dan tidak pernah dianugerahkan kontrak kerajaan atau menjalankan perniagaan dengan kerajaan.

“Selain itu, saya juga sedih apabila ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah di negara ini yang memerlukan bantuan bagi memenuhi tuntutan agama menunaikan Haji, kini tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan.

“Tun Mahathir adalah silap untuk mendakwa wang yang digunakan 1MDB bagi membiayai beribu jemaah haji, adalah hasil curi.

“Tun Mahathir kerap membuat dakwaan duit dicuri dari 1MDB. Bagaimana agaknya, 1MDB mencuri wang 1MDB sendiri untuk membolehkan syarikat ini membiayai jemaah haji?

“Jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka menunaikan Rukun Islam ke-5 ini adalah dari sumber halal kerana saya akan menanggung dosa yang besar jika ia adalah sebaliknya.”

Sumber: UTUSAN ONLINE


TOKYO - Malaysia akan memulakan projek kereta nasional baharu menerusi kerjasama dengan negara serantau lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia sempena Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-24 hari ini, Dr Mahathir berkata Proton kini bukan lagi kereta nasional kerana sebahagian besar saham syarikat terbabit kini dimiliki syarikat China, Geely.

"Aspirasi kita sekarang ialah untuk memulakan sebuah lagi projek kereta nasional, mungkin dengan kerjasama negara serantau," katanya.

Tambah beliau, Thailand dan Jepun adalah antara negara serantau yang memiliki kepakaran dalam pembuatan kenderaan.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya mengenai potensi pembangunan industri baharu Malaysia dan bagaimana pelabur asing dapat melengkapkan senario itu.

"Kita mungkin terpaksa mengharapkan rakan asing pada permulaan tetapi lambat laun kita berharap pekerja tempatan sendiri dapat menguasai teknologi yang diguna pakai," katanya.

Sementara itu, pada sesi dialog dengan wartawan Jepun di Japan National Press Club, Dr Mahathir berkata dalam tempoh 20 tahun Malaysia bekerjasama dengan Mitsubishi Motor Corp, negara memperoleh banyak kepakaran dan teknologi berkaitan reka bentuk serta pembuatan kereta baharu.

"Bagaimanapun, ada bahagian tertentu kereta yang terlalu mahal untuk dibangunkan dan kita mungkin mendapatkannya dari negara lain termasuk Jepun," katanya.

Sumber: BH Online


TOKYO – Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memperkenalkan Wawasan 2020, berkata matlamat wawasan itu hanya dapat dicapai menjelang 2025 atau mungkin lebih awal lagi. Perdana Menteri berkata kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan usaha mencapai aspirasi Wawasan 2020. Dengan hanya dua tahun lagi menjelang 2020, Dr Mahathir menyuarakan keraguan tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa itu.

“Walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada 2020.

“Mungkin ia akan (mengambil masa) agak lama daripada itu, mungkin 2025 atau mungkin lebih (awal) jika kita mengamalkan dasar yang betul,” kata beliau pada Persidangan Antarabangsa Ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sini, Isnin.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri keempat Malaysia semasa beliau mengilhamkan Wawasan 2020 pada 1991, yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju pada 2020.

Beliau menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Dr Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun termasuk untuk menghadiri Persidangan Nikkei itu.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak menjadi perdana menteri ketujuh selepas mengetuai Pakatan Harapan memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum bulan lepas. – BERNAMA


ALOR SETAR - Pas Kedah mengarahkan semua Pas kawasan menarik balik pemberian resit zakat fitrah yang tertera lambang parti itu yang dicetak sendiri, bagi elak kekeliruan selain untuk menghentikan tohmahan tidak berasas.

Timbalan Pesuruhjaya Pas II, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sejurus resit berkenaan tular sejak beberapa hari lalu, pihaknya memutuskan agar pemberian resit dihentikan serta merta.

Menurutnya, sebagai hormati Sultan Kedah selaku Ketua Agama Islam serta institusi zakat negeri ini, pihaknya akur dengan arahan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Semua resit itu sudah ditarik balik sejak dua hari lalu, bimbang menjadi isu lebih besar jika disalah erti, tambahan pula berkaitan institusi zakat dan Istana,” katanya.

Dr Mohd Hayati yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Pendang berkata, pendekatan membayar zakat fitrah melalui parti sudah lama dipraktikkan dan menjadi amalan sejak sekian lama.

“Dulu pun ada buat macam itu, tak ada masalah pula. Bagi kawasan Pendang, kami berikan resit sebagai bukti pembayaran untuk elak persepsi negatif. Kutipan zakat itu dimasukkan ke dalam tabung fitrah Pas, untuk diagih dan digunakan bagi program asnaf dan fisabilillah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya urus sendiri daripada kenal pasti golongan sasaran, kutipan sehingga kepada agihan.

“Wang zakat fitrah itu tidak pernah diseleweng, cuma kami urus sendiri dan agih ikut sasaran asnaf yang dikenalpasti ahli. Contohnya, kebanyakan daripada kita bayar zakat kepada tok guru,” katanya.

Dr Mohd Hayati berkata, kemungkinan ada individu yang sengaja ketengahkan isu ini untuk memberi gambaran buruk terhadap parti itu.

“Seingat saya, perkara ini dibuat sejak Ustaz Azahari Abdul Razak (1987-1991) menjadi Pesuruhjaya Pas Kedah, ketika itu tiada masalah. Fatwa turut dikeluarkan bahawa perjuangan ke arah fisabilillah dibolehkan menerima zakat fitrah,” katanya.

Sumber: Sinar Online


Ketua Media dan Komunikasi, Majlis Penasihat Negara, Datuk A. Kadir Jasin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana membuat fitnah berhubung perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak polis setakat ini telah menerima tiga laporan mengenai perkara itu.

“Kami telah membuka kertas siasatan selepas menerima dua laporan polis di Lembah Klang dan satu di Kelantan yang dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 13/2018 semalam.

Menurut Mohamad Fuzi, pihak polis akan menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan seterusnya.

A. Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST  di dalam blognya menulis mengenai perbelanjaan mewah Sultan Muhammad V iaitu sebanyak RM257 juta dalam tempoh 16 bulan.

Sementara itu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membidas kenyataan  Kadir yang juga  ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM kerana membuat kritikan itu  tanpa memberi peluang kepada Institusi Raja-Raja Melayu untuk memberi respons..

Menurut Anwar, walaupun hak untuk menyuarakan pandangan perlu dihormati, wartawan veteran itu perlu menunjukkan penghormatan dan ketertiban dalam hal ini.

Artikel Kadir berhubung peruntukan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong menunjukkan rasa tidak hormat beliau kepada institusi Raja.



Sumber- MalaysiaGazette


Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak Najib  meminta ahli UMNO meneruskan perjuangan kerana masa untuk bersedih kerana kekalahan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) telah pun berlalu.



"Kita mesti ambil iktibar, kuatkan iltizam dan perbaiki kelemahan serta kuatkan UMNO agar kita dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO," kata Najib.


Dalam status Facebooknya hari ini, bekas Perdana Menteri selama 9 tahun itu mengakui bertanggungjawab sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) atas kekalahan  PRU14.


Beliau meminta ahli UMNO kuatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyuburkan dan memulihkan UMNO.


Najib mengingatkan UMNO telah banyak berjasa dan sinonim dengan pelbagai kejayaan negara kita.
"Insya-Allah, kita akan tabah menghadapi dugaan yang amat hebat dari Allah SWT, semoga Allah SWT merahmati perjuangan kita di masa depan," katanya.


Sementara beliau turut  menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan pada pemilihan parti kali ini.


Najib, 65, memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Pekan sejak tahun 1982.


 Menurutnya beliau akan terus memimpin UMNO Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Pekan.


Najib turut berkongsi rutin kehidupannya dengan kini meluangkan banyak masa pada bulan Ramadan untuk beramal ibadat.


Beliau juga tidak putus-putus menerima kunjungan pemimpin dan ahli UMNO dari seluruh negara, penyokong dan sahabat, yang memberi sokongan dan meminta pandangan mengenai kedudukan semasa.


"Boleh dikatakan tak putus-putus mereka yang datang ke rumah, terima kasih. 


Selain itu, saya juga dalam proses untuk membuka satu pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemu saya," katanya.


Beliau juga memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan terhadapnya yang disifatkan sebagai dendam politik.


"Setakat ini, saya dua kali memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Waktu sekarang ini adalah masa yang cukup bernilai untuk saya bersama keluarga, terutama anak-anak dan cucu kerana saya terlalu sibuk dengan urusan negara selama ini," katanya yang dipetik daripada BH.


Dalam aspek kebajikan, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau akan terus menyampaikan bantuan zakat kepada kumpulan asnaf, walaupun lebih bersederhana berbanding sebelum ini.


"Saya dan keluarga juga akan menyambut Hari Raya di Pekan," katanya. - Kedahnews.com

KULIM - Lebih 700 penduduk Taman Nilam di  sini memohon supaya laluan alternatif di situ dinaiktarafkan untuk keselesaan pengguna.

Pengerusi Surau Taman Nilam, Rashid Mohd Yusof berkata keadaan laluan alternatif itu sangat teruk dan membahayakan kepada pengguna terutama pelajar sekolah kerana dipenuhi lopak serta lubang.

Menurutnya, laluan itu sudah menjadi jalan utama penduduk kerana jaraknya lebih pendek dan berdekatan dengan semua lokasi termasuk sekolah serta hospital.

“Sudah lebih 10 tahun jalan ini wujud, semua penduduk guna laluan ini walaupun keadaannya teruk.

“Bukan apa laluan ini lebih dekat dengan sekolah, hospital dan pekan. Budak-budak nak ke sekolah naik basikal juga lebih dekat tapi bahaya disebabkan lubang.

“Jaraknya hanya sejauh 200 meter saja untuk ke laluan utama lain iaitu Taman PKNK dan Taman Hi-Tech,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penduduk taman juga telah mengambil inisiatif sendiri dengan membuat kutipan wang untuk menurap jalan yang berlubang di situ.

“Sudah lebih empat kali kami kutip duit dari penduduk untuk turap jalan di situ. Tapi tak tahan lama, bila hujan turun tar itu habis di bawa air dan jalan kembali berlubang,” katanya.

Selain itu, Roslee Amir Hamzah, 46 berkata banyak kemalangan telah berlaku dan kenderaan mengalami kerosakan akibat keadaan jalan di situ.

“Nak buat macam mana ini saja jalan yang lebih dekat, nak kena lalu juga lah walaupun teruk. Banyak sudah kemalangan berlaku apabila kenderaan mereka masuk ke dalam lubang terutama penunggang motosikal.

“Kenderaan juga habis rosak, sebulan atau dua bulan sekali kena hantar ke bengkel. Ini amat memberi tekanan kepada kami ,” katanya.

Tambahnya, penduduk berharap pihak yang terlibat dapat membantu menaiktaraf laluan ini dengan segera kerana sudah lama menunggu.

“Kami pernah adakan pertemuan dengan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) tapi dimaklumkan ia adalah tanah persendirian. Tapi kami mohon juga sekiranya ia boleh dinaiktaraf untuk kemudahan serta keselesaan semua,” katanya.

Sumber:Sinar Online

BALING - Kanser otaknya semakin membesar selepas keluarganya tidak dapat menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Siti Hajar Abd Razak, berkata, abangnya Mat Basarudin Abdul Razak,45, yang mengidap kanser tahap empat tidak dapat dihantar ke hospital kerana masalah kewangan yang dihadapi.

Menurutnya, Mat yang telah menderita penyakit itu sejak hampir lima tahun lalu telah menjalani pembedahan pada pertengahan 2017 di bahagian kiri kepala.

“Selepas bedah, pihak Hospital Pulau Pinang sudah bagi tarikh rawatan susulan, tetapi keluarga tak mampu hantar ke sana kerana masalah kewangan waktu tu.

“Lama kelamaan kanser berhampiran tempat dibedah semakin besar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, Kampung Charok Bemban, semalam.

Katanya, kos keperluan Mat kini ditanggungnya dengan menggunakan pendapatan kerja kilang selain bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling.

“Dalam sebulan, keperluan susu ialah lima tin. Setin harganya RM94.90. Lampin pula sehari abang pakai empat keping. Duit bantuan JKM, tak cukup nak tampung semua ni.

“Dalam rumah ni ada 11 orang campur mak ayah dan adik perempuan serta abang yang sudah kahwin. Tapi cuma saya kerja kilang, abang dan suami adik ambil upah kampung,” katanya.

Tambahnya, setiap enam bulan, tiub cuci kahak berharga RM180 juga perlu ditukar.

Sementara itu, jiran, Mohd Tarmiji Mohd Zain,47, berkata, kisah keluarga itu telah ditularkannya di media sosial dengan harapan mendapat perhatian pihak berwajib dan rakyat Malaysia.

“Saya buat macam ni atas dasar simpati dan tanggungjawab terhadap jiran sendiri.

“Harap-harap dapatlah pesakit ini dibantu, lagipun pendapatan keluarga itu hanya bergantung kepada Siti Hajar yang bekerja kilang,” katanya.

Sumber: Sinar Online

KULIM - Prihatin dengan nasib menimpa seorang ibu tunggal enam anak yang hilang tempat bergantung selepas suami meninggal dunia 5 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan dan wang tunai, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata selepas kisah keluarga terbabit tular di media sosial dan mendapat liputan media, pihaknya terpanggil untuk membantu Rosalinda Saad, 38, yang dihimpit kesusahan selepas suaminya meninggal dunia.

Menurutnya, sumbangan barangan keperluan dan wang tunai itu adalah usaha IPD Kulim membantu meringankan beban keluarga terbabit.

"Tambahan Aidilfitri bakal menjelang tiba tidak lama lagi pasti membebankan mereka sekeluarga.

"Diharapkan sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri," katanya selepas menyerahkan sumbangan itu di rumah adik ipar Rosalinda di Taman Sejahtera Jaya, Lunas, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Rosalinda berkata, kehidupannya berubah selepas suami meninggal dunia bulan lalu menyebabkan dia buntu memikirkan masa depan membesarkan enam anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Dia yang tidak bekerja terpaksa membesarkan anak-anaknya terutama bayi berusia dua bulan seorang diri.

"Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan selepas mengetahui nasib menimpa kami.

"Tidak lupa juga kepada IPD Kulim yang memberi sumbangan kepada saya bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri," katanya.

Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini disambut ala kadar dan hanya membeli baju untuk anak-anaknya sahaja.

Orang ramai yang ingin membantu Rosalinda boleh menghubunginya di talian 013-4188057.

Sumber:BH Online

BERKAT 10 malam terakhir Ramadan… Kemelut di Perlis yang bergolak sejak 25 hari lalu dijangka tamat selepas semua sembilan ADUN BN negeri itu terima perlantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar seperti mana diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berkata, kesemua ADUN BN berkenaan telah membuat keputusan bersama untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Katanya, keputusan itu yang sudah pun dibuat sebelum mereka diterima menghadap baginda di Istana Arau dekat sini kelmarin, adalah bagi menyelesaikan segera isu berkenaan demi kebaikan rakyat.

“Kami tidak mahu kemelut ini berpanjangan dan supaya sebuah kerajaan negeri yang sempurna (pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dapat dibentuk segera. Kita jangka (pelantikan) boleh dilakukan pada minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Sempena Ramadan Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer di Dewan 2020, di sini hari ini.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Azlan yang juga ADUN Bintong. Turut hadir ialah ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.

Dalam pada itu, Azlan ketika diminta mengulas isu tersebut hanya tersenyum dan menyatakan ringkas: “Semuanya positif”.

Mengulas lanjut, Asmaiza memberitahu, majlis sembah menghadap kesemua ADUN BN tersebut secara serentak ke atas Tuanku Syed Sirajuddin, berlangsung dalam suasana harmoni.

“Alhamdulillah tuanku (Syed Sirajuddin) perkenan untuk berjumpa dan pada masa itu, kami (ADUN-ADUN) telah menyatakan menjunjung titah tuanku, akur dan taat dalam pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar,” jelasnya.

Tambah Asmaiza, walaupun sembah menghadap itu tanpa kehadiran Datuk Ismail Kassim, tetapi ADUN Tambun Tulang tersebut menyatakan sokongan serupa dan bersama kumpulan mereka.

Ditanya sama ada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim mengetahui berhubung keputusan yang dibuat oleh kesemua ADUN tersebut, Asmaiza memberitahu, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Arau itu.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan ADUN BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

Lebih merumitkan apabila kesemua sembilan ADUN BN itu dikatakan sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menyatakan pendirian menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Tidak lama selepas itu, Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam satu sidang akhbar telah menyatakan permohonan ampun kepada baginda berikutan salah faham yang berlaku dalam isu tersebut.

Kesemua mereka walau bagaimanapun tetap dengan pendirian untuk tidak menyokong Azlan yang dikatakan tidak bekerjasama dengan Badan Perhubungan UMNO negeri itu termasuk tidak menghadiri mesyuarat selama empat tahun.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis. 

Sumber: AgendaDaily

KANGAR - Kerajaan Perlis mengumumkan pemberian bantuan khas berjumlah RM485,200 kepada 1,223 penjawat awam peringkat negeri, sempena Aidilfitri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man, berkata jumlah bantuan khas berkenaan sama seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan iaitu RM400 untuk penjawat awam dan RM200 pesara.

"RM400 itu merangkumi staf tetap dan kontrak, selain penjawat awam yang meninggal dunia pada tahun ini juga turut diberi bantuan yang sama kepada warisnya.

"Ia akan diuruskan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat dan kita akan usahakannya sebelum Aidilfitiri ini," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan sempena Bulan Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer.

Pada majlis berkenaan seramai 1,531 penerima menerima bantuan sebanyak RM150 seorang.

Sumber:BH Online

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan ‘Malaysia’ bermula 2 hingga 16 Julai ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-61, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata keputusan tawaran bidaan melibatkan nombor siri Malaysia 1 hingga Malaysia 9999 itu akan diumumkan pada 23 Ogos depan.

Katanya bidaan itu terbuka kepada mana-mana individu termasuk menteri kecuali Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan ditawarkan nombor pendaftaran khas ‘Malaysia 2020’.

“Niat kita untuk tambah hasil kerajaan jadi semua nombor tidak dikhaskan untuk sesiapa (termasuk menteri), boleh dibida oleh sesiapa pun. Tiada bidaan minimum,” katanya pada sidang media, di sini kelmarin.

Menurutnya kerajaan menjangkakan hasil lebih RM22 juta daripada tawaran bidaan tersebut berdasarkan hasil penjualan nombor pendaftaraan siri ‘V’ dan ‘F’ sebelum ini.

Loke berkata nombor pendaftaran siri ‘V’ dan ‘F’ masing-masing merekodkan hasil jualan sebanyak RM22.48 juta dan RM17.55 juta dengan bidaan tertinggi dicatatkan bagi kedua-dua siri itu adalah RM989,780 bagi nombor V1 dan RM836,660 bagi nombor F1.

“Hasil jualan nombor ini (Malaysia) akan disalurkan kepada kerajaan kerana dalam bidang pengangkutan ini jika JPJ dapat hasil tinggi, kementerian boleh minta lebih banyak dana untuk pengangkutan awam.

“Jadi saya ingin meyakinkan kabinet bahawa JPJ juga boleh menambah hasil kerajaan,” katanya.

Berbeza dengan amalan sebelum ini yang hanya membolehkan bidaan dibuat di JPJ Kuala Lumpur, Loke berkata kali ini bidaan boleh dihantar kepada semua pejabat JPJ negeri untuk kemudahan orang ramai.

Menurut Loke selaras dengan keputusan mesyuarat kabinet pada Rabu lepas, kementerian juga akan memperkenalkan siri nombor pendaftaran kenderaan bagi setiap negeri bermula dari ‘Perlis’ sehingga ke ‘Sabah’ tidak lama lagi.

Selain itu, Loke berkata kementerian juga sedang mengkaji cadangan memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan peribadi bagi menambah hasil kerajaan seperti yang telah dilaksanakan di negara-negara lain.

“Sesiapa hendak letak nama sendiri pun boleh seperti Anthony, John, Ali atau Mahathir atau pun Najib. Sesiapa yang hendak, boleh buat personalised number ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan menghentikan amalan membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) membuka bidaan nombor pendaftaran kenderaan memandangkan hasil yang dikutip tidak disalurkan kepada kerajaan.

“Nombor pendaftaran paling tinggi yang pernah direkodkan adalah ‘Patriot 1’ yang dijual dengan harga RM1.3 juta, bagaimanapun sayangnya ia ditawarkan oleh sebuah NGO dan hasil jualan tidak masuk kepada dana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata bagi nombor pendaftaran yang telah diluluskan kepada NGO dan masih dibuka untuk bidaan ketika ini, ia tidak boleh dibatalkan sebaliknya tarikh penjualan tidak akan disambung selepas tamat tempoh setahun yang diberikan kepada mereka. – BERNAMA

KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apandi Ali menerima keputusan kerajaan menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara.

“Apa-apa keputusan pun saya akan terima dengan reda sebagai ketentuan oleh Allah SWT. Alhamdulillah,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp apabila ditanya mengenai penamatan perkhidmatannya itu pagi ini.

Dalam satu kenyataan bertarikh 4 Jun yang dikeluarkan oleh Istana Negara kepada Bernama awal pagi ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan penamatan perkhidmatan Mohamed Apandi selaku Peguam Negara oleh Kerajaan Malaysia.

Wan Ahmad Dahlan berkata Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara menurut Artikel 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini telah mencadangkan peguam terkemuka Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara untuk menggantikan Mohamed Apandi, 68, yang diberikan cuti tanpa rekod selama 30 hari sejak 15 Mei, 2018.

Pada 14 Mei lepas, Dr. Mahathir berkata Mohamed Apandi sudah diarahkan bercuti dan Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek mengambil alih tugas beliau berkuat kuasa serta merta.

Mohamed Apandi, anak kelahiran Kelantan dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015, menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang perkhidmatannya ditamatkan atas faktor kesihatan. – BERNAMA


KUALA TERENGGANU - Kerajaan PAS Terengganu belum memberi kata putus berhubung masa depan 900 kakitangan Agensi Tranformasi Rakyat Terengganu (ATRA) di negeri ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata setakat ini kerajaan negeri hanya menghentikan perjawatan ad hoc berikutan perlu menanggung kos kewangan yang tinggi jika ia dilanjutkan.

"Pada dasarnya perjawatan ATRA kita tidak hentikan tapi selaras dengan dasar kerajaan pusat di mana perjawatan lantikan politik kerajaan sebelum ini perlu dibubarkan.

Itupun atas status perjawatan ad hoc, manakala kakitangan kontrak dan sementara kita tidak ganggu. Kita masih lagi belum bincang sama ada kontrak mereka disambung atau dihentikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1/2018 Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Bangunan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Mohd Nor dalam pada itu berkata kerajaan negeri tetap membayar gaji bagi kakitangan adhoc yang dilanjutkan tempoh perkhidmatan mereka sehingga 30 Jun ini agar dapat membuat persiapan dan menyambut Aidilfitri yang tiba tidak lama lagi.

"Di samping itu dapat memberi ruang mencari pekerjaan lain, Insya-Allah jika diberi ruang oleh kerajaan negeri membuat perjawatan baru untuk mereka, mereka boleh memohon," katanya. - BERNAMA

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata PAS berpendirian bahawa Tommy Thomas bersifat sekular dan tidak layak untuk menjawat jawatan Peguam Negara.

Oleh itu, PAS meragui keperibadian Tommy yang dilihat akan membantutkan usaha memartabatkan agenda Islam yang menjadi teras kedaulatan negara ini.

“Meneliti kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara yang digariskan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, tanpa menafikan kepakaran Tommy Thomas mengenai undang-undang dan perlembagaan, saya berpendirian bahawa beliau tidak sesuai menduduki jawatan itu kerana pemikiran sekular tegar beliau boleh menjejaskan kedudukan dan peranan Islam yang telah dijamin oleh perlembagaan Persekutuan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai tanggungjawab menyatukan masyarakat berteraskan asas-asas negara yang telah dipersetujui antaranya kedaulatan Islam dan kedaulatan Raja-raja dan Sultan.

Namun PAS melihat kerajaan PH gagal mengemukakan calon yang bebas kontroversi dan tidak berkepentingan untuk menjawat jawatan berkenaan.

“Kelihatannya sikap itu sama sahaja dengan kerajaan sebelum ini yang sering melantik individu bermasalah untuk memegang jawatan-jawatan penting,” katanya lagi.

UMNO turut menempelak tindakan kerajaan PH itu.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, cadangan untuk melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara ternyata bercanggah dengan 15 janji PH dalam manifesto mereka antaranya berhubung pelantikan peguam negara.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu pelantikan Peguam Negara berikutan penolakan Istana Negara terhadap cadangannya melantik Tommy Thomas.

Sumber: MalaysiaGazette

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com