Mahathir Kembali Sebagai PM Tertua Di Dunia


TUN Dr Mahathir Mohamad melakar kejayaan bersejarah untuk kembali memainkan peranan penting di pentas politik Malaysia apabila beliau mengangkat sumpah malam tadi sebagai perdana menteri ketujuh negara ini, sekali gus memegang rekod sebagai ketua kerajaan tertua di dunia.

Stamina dimiliki pemimpin berusia 92 tahun ini dalam usaha meraih sokongan melalui kempennya di seluruh negara, yang menuntut kecergasan dan kekuatan tenaga bagi menghadapi kesengitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semalam, tentunya dicemburi oleh mereka yang jauh lebih muda daripada beliau.

Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia keempat, juga memperoleh ganjaran besar apabila beliau dan sekutu politiknya dalam Pakatan Harapan (PH) mengakhiri pentadbiran Barisan Nasional (BN) diketuai UMNO selama enam dekad di Malaysia, bukan sahaja dengan cara yang cukup bergaya, malah bersifat di luar realiti.

Apa yang mendorong Mahathir untuk kembli aktif setelah menyepi diri daripada gelanggang politik selama 13 tahun, dipercayai berpunca daripada perkembangan yang berlaku di negara ini di bawah kepimpinan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta pentadbirannya yang tidak boleh terima oleh tokoh berjiwa kental itu, yang telah menerajui Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Pada 2016, Dr Mahathir meninggalkan UMNO susulan wujudnya perbezaan pendapat antara beliau dengan Najib serta menubuhkan parti politik dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan bertanding bagi kerusi Parlimen Langkawi pada PRU14, semalam, yang menyaksikan beliau menang dengan majoriti 8,893 undi.

Sebagai perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat, Dr Mahathir kaya dengan pengalaman mentadbir negara serta kebijaksanaan politik yang menjadikan beliau seorang pemimpin hebat dan ini antara lain terbukti melalui kejayaan beliau dalam menyusun langkah bagi menumbangkan UMNO serta mengalahkan pesaing politiknya yang jauh lebih muda.

Mahathir menggantikan Tun Hussein Onn sebagi perdana menteri pada 1981 ketika berusia 56 tahun.

Kebijaksanaan Dr Mahathir dalam mengemudi Malaysia antara lain terpamer melalui kejayaan beliau dalam memacu dan merancakkan lagi proses modenisasi dan pembangunan Malaysia, hingga beliau digelar sebagai ‘Bapa Pemodenan’.

Antara usaha beliau yang paling terkenal ialah memperkenalkan ‘Wawasan 2020’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang mampu berdikari menjelang 2020.

Menara Berkembar Petronas dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), yang merupakan antara mercu tanda ikonik serta daya tarikan utama pelancong di tengah-tengah Kuala Lumpur, juga merupakan hasil ilham Mahathir, yang beliau lancarkan pembinaannya pada 1992.

Beliau jugalah yang mengilhamkan pembinaan pusat pentadbiran persekutuan Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lapangan Terbang Antarabansga KL (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia, yang merupakan inisiatif ICT Kebangsaan Malaysia.

Mahathir juga mendapat sanjungan ramai kerana meletakkan Malaysia di peta sukan antarabangsa apabila negara ini menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij, Formula Satu (F1), dan kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL).

Nama dan semangat rakyat negara ini melonjak apabila Malaysia menghantar seorang angkasawannya ke Stesen Angkasa Antarabangsa dengan kapal angkasa Soyuz melalui kerjasama dengan Rusia pada 2007. Mahathirlah orang yang mengilhamkan idea itu.

Mahathir juga telah mengurus ekonomi negara dengan cemerlang, termasuk melaksanakan kawalan modal serta menambat ringgit pada RM3.80 bagi satu dollar Amerika ketika berlaku Krisis Kewangan Asia 1998.

Mahathir dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan tidak gentar untuk menyuarakan pandangannya, termasuk di pentas antarabangsa.

“Beliau berpegang teguh dengan peraturan dan kaya dengan ideas. Beliau gemar mencuba sesuatu yang baharu,” kata seorang bekas pembantu beliau tentang Mahathir, yang berundur daripada jawatan perdana menteri pada 2003 setelah menyandangnya selama 22 tahun.

Dilahirkan di Kedah, kehidupan Mahathir tidak lekang daripada berkhidmat untuk orang ramai, termasuk ketika beliau berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan pada 1957, apabila beliau membuka MAHA Clinic, juga di ibu negeri Kedah itu – klinik pertama milik orang Melayu ketika itu.

Mahathir merupakan antara anggota UMNO paling awal apabila beliau menyertai parti itu pada 1946 dan menjadi anggota Parlimen setelah memenangi kerusi Kota Setar pada pilihan raya umum 1964. Setahun kemudian, beliau terpilih menjadi anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Pada pilihan raya umum 1969, beliau kalah di kerusi Parlimen tetapi menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974 dan dilantik menjadi Menteri Pendidikan. Mahathir dilantik sebagai naib presiden UMNO pada 1975.

Pada 1976, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri oleh Tun Hussein Onn dan sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian pada 1977, sebelum menjadi ketua kerajaan Malaysia empat tahun kemudian. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com