Biar Dilanda Taufan, UMNO Akan Terus Dipertahankan - Suraya


"Kita tidak perlu malu untuk terus berjuang. Biar dilanda taufan, namun UMNO akan dipertahankan.


“Apakah kerana hilang kuasa dan nikmat itu maka kita perlu lari lintang-pukang meninggalkan perjuangan parti yang menyatukan anak bangsa ini?

Demikianlah semangat yang ditunjukkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob, salah seorang daripada lima  pemimpin UMNO Negeri Kedah yang masih mempertahankan kerusi selepas PRU14.


Menurut Suraya, UMNO yang menguasai  54 kerusi daripada 74 kawasan parlimen Barisan Nasional (BN) akan terus membawa suara rakyat di Dewan Rakyat.  


"Hakikatnya tidak ada majoriti dua pertiga di Parlimen, namun BN secara kolektifnya masih teguh di hati rakyat,” kata Suraya yang dipetik daripada laman sosial Facebooknya semalam.


Katanya tidak siapa boleh menafikan, UMNO lahir atas perjuangan anak bangsa untuk memerdekakan tanah air dan seterusnya diberi peluang selama enam dekad menerajui negara ini. 


Suraya turut menimbulkan persoalan adakah disebabkan atas ketentuan takdir dariNya yang menyebabkan  BN  ‘direhatkan’ daripada menguasai kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu menjadi penyebab untuk beralih arah sokongan.


“Kita masih punya roh dan semangat untuk meneruskan perjuangan ini. Biarlah daun kering nak gugur, gugurlah. Ranting rapuh dan buruk hendak patah, biarlah....
Namun yang penting, pohon UMNO ini perlu kita jaga dan bajai supaya kembali subur serta mampu memayungi anak bangsa untuk 1,000 tahun lagi…! kata Suraya.

Sementara itu bekas Ketua Puteri UMNO Kedah dan kini menyandang Ketua Wanita Pendang mengajak ahi UMNO terus berjuang demi agama, bangsa dan negara pada mesyuarat cawangan dan bahagian

Mesyuarat parti di peringkat cawangan yang telah bermula sejak minggu lalu dan bahagian pada bulan depan.

Bekas Exco Kedah itu  mengharapkan agar persidangan tahunan tersebut dapat dijayakan dengan sebaiknya, penuh dengan tertib dan paling penting pengisiannya mampu membangkitkan semangat kepada setiap jiwa anggota parti.

“Fasal Tiga Perlembagaan UMNO juga perlu diberi perhatian penuh.

Semoga kita semua terus beristiqamah, meningkatkan jati diri perjuangan yang tulen bagi memastikan kelangsungan nasib dan masa depan anak bangsa terus terbela, tidak terus terjajah dengan penjajahan alaf baru, " kata Suraya lagi. - Kedahnewscom.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com