Tiong Lai Harap Tiada Lagi Fitnah Pembangkang


BENTONG - Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berharap tiada lagi pihak membuat tuduhan tidak berasas terhadap dirinya seperti dilakukan pembangkang.

Katanya, beliau gembira apabila ahli DAP, Wong Tack, memohon maaf berhubung tuduhan beliau menipu kad pengenalan menerusi sebuah video yang dikongsi di laman Facebook.

"Saya gembira dan bersyukur Wong Tack meminta maaf. Semoga tidak ada lagi tuduhan tidak berasas yang datang dengan cara begini," katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Catatan itu dimuat naik selepas Wong Tack memohon maaf kerana menyebabkan salah faham mengenai kad pengenalan milik Tiong Lai menerusi video di Facebook.

Semalam, Wong Tack memuat naik klip video menerusi akaun Facebook miliknya yang dikatakan dirakam penyokongnya di luar pusat penamaan calon bagi kerusi Bentong.

Menerusi rakaman video itu terdengar kata-kata laungan suara 'Liow Tiong Lai', 'tunjuk IC' dan 'penipu'.

Video itu mencetuskan salah faham dalam kalangan pengguna media sosial yang menyangka Tiong Lai hadir tanpa membawa kad pengenalan ke pusat penamaan calon.

Berikutan penyebaran video terbabit, Setiausaha Akhbar kepada Tiong Lai, Lim Chau Leng, membuat laporan polis.

Tiong Lai selaku penyandang kerusi Parlimen Bentong, berdepan saingan tiga penjuru membabitkan Wong Tack yang bertanding menggunakan lambang PKR dan N Balasubramaniam daripada PAS.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com