PPBM Bolot Kerusi Parlimen Berpotensi Di Kedah, Beri Kerusi Sukar Pada Sekutu?


ALOR SETAR - Meskipun meminjam logo PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kali ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dibubarkan RoS dilihat bijak meletakkan calon mereka di kerusi Parlimen yang berpotensi dikuasai Pakatan Harapan.

Sememangnya dijangka Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memilih kerusi Parlimen Langkawi, namun kerusi-kerusi lain yang ditandingi parti terbubar itu dikatakan memberi potensi lebih daripada 40 peratus untuk menang.

Anak Mahathir sendiri, Dato' Seri Mukhriz Mahathir akan bertanding di Parlimen Jerlun, Dato' Amiruddin Hamzah di Kubang Pasu dan Akhramshah Muammar Ubaidah Sanusi di Jerai dilihat mampu menggugat undi untuk Barisan Nasional (BN) kali ini.

Meskipun belum tentu menang di kerusi-kerusi parlimen tersebut dan terpaksa berdepan terlebih dahulu dengan pengaruh PAS yang turut meletakkan calon mereka, namun ia sedikit sebanyak bakal memberi kesan kepada BN.

Hanya kerusi Parlimen Pendang dan Baling sahaja realitinya tidak akan memberi kesan kepada BN mahupun PAS ekoran hakikat pengundi di kawasan tersebut sememangnya hanya memilih kedua parti itu sahaja berbanding parti yang bersekutu dengan DAP, PAN mahupun PKR.

Malah analisis awal di peringkat masyarakat akar umbi mendakwa Wan Saiful Wan Jan dan Mohd Taufik Yaacob berkemungkinan akan mendapat undi yang lebih kecil berbanding PAS di Pendang dan Baling.

Malangnya adalah kepada PAN di mana pembahagian kerusi yang diperuntukkan untuk parti itu lihat langsung tidak berpotensi untuk menang atau hanya memperoleh sedikit sahaja undi daripada pengundi di kawasan terbabit.

PAN menampilkan calon-calon yang kurang dikenali masyarakat tempatan seperti Mohd Khairizal Khazali yang difahamkan menetap di Merbok, namun tercalon di kerusi Parlimen Padang Terap yang sememangnya kubu kuat BN dan dikuasai dengan baik oleh Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid.

Di Parlimen Sik pula, Azli Che Uda yang dicalonkan Pakatan Harapan, meskipun daripada PAN sendiri, namun dia terdedah kepada sabotaj dalaman yang sebelum ini dikatakan memberontak enggan menerimanya sebagai calon di parlimen itu.

Difahamkan akar umbi Pakatan Harapan di Sik lebih gemar untuk melihat Ketua PAN Kawasan, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak sebagai calon. Namun mereka terpaksa memendam rasa tidak puas hati ekoran dipaksa menerima keputusan pihak atasan parti itu.

Malah menurut penelitian sentimen sokongan pengundi di Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar yang dicalonkan di parlimen itu juga berkemungkinan untuk tewas mudah kepada Radhi Md Din, meskipun calon PAS itu merupakan calon "muka baru".

Walaupun Mahfuz dianggap lebih popular dan dikenali, namun segala tindakan beliau yang mengkhianati perjuangan PAS dan herdikan serta serangan bertali-arusnya terhadap kepimpinan bekas partinya itu dikatakan menjadi punca utama beliau akan ditolak di Pokok Sena.

Daripada analisis awal, calon PPBM (telah dibubarkan sementara) hanya berpotensi sebanyak 45 peratus untuk menang di kerusi Parlimen Langkawi, Jerlun dan Jerai, manakala peratusannya dibawah 15 peratus di Pendang dan Baling.

Manakala PAN pula dijangka tewas di ketiga-tiga kerusi yang ditandingi sama ada di Padang Terap, Sik mahupun Pokok Sena.

Antara punca yang dikatakan menjadi sebab kekalahan calon PPBM adalah lebih kepada tindakan sabotaj, masalah dalaman, penyokong tidak yakin pada calon, penyokong belum mendaftar sebagai pengundi dan kurang sokongan orang ramai.

Meskipun terdapat nama-nama besar, popular dan berpengaruh, namun ia dijangka tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk bilangan undi atas pelbagai faktor seperti hilang keyakinan, sekadar suka-suka, tidak turun mengundi, enggan bersekongkol dengan DAP dan sebagainya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com