Ahli Gesa Pemimpin PPBM Mohon Maaf Secara Terbuka


ALOR SETAR – Lebih 30 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggesa pucuk pimpinan parti membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kelemahan mereka sehingga menyebabkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah agar parti itu dibubarkan sementara.

Mereka yang terdiri daripada anggota PPBM akar umbi bagi bahagian Pendang, Jerai, Sungai Petani dan Alor Setar turut merasa diperbodohkan apabila masa, wang ringgit dan kerja kuat untuk parti selama ini menjadi sia-sia menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kami menuntut agar Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Timbalan Presiden PPBM), Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh serta Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli parti yang kini telah bergelar bekas ahli PPBM atas kelemahan mereka yang mengakibatkan parti terbubar.

Kita terpaksa menumpang simpati atau menjadi peminta sedekah kepada parti lain, kami amat malu dengan tindakan bodoh pemimpin kami sendiri,” kata anggota akar umbi PPBM bahagian Pendang, Shukor Shamsuddin, yang mewakili anggota parti akar umbi yang lain, dalam satu sidang akhbar di sini, semalam.

Shukor berkata, anggota PPBM juga tidak boleh menyalahkan RoS kerana jabatan itu telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, sebaliknya pimpinan parti harus belajar daripada kesilapan besar yang dilakukan mereka sebelum menguruskan sesebuah parti. -BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com