Perlu Kajian Lebih Mendalam Mengenai Ketum


KUALA LUMPUR – Di utara Semenanjung Malaysia, pokok biak digunakan secara tradisional sejak turun temurun bagi mengubati pelbagai masalah kesihatan seperti demam, sakit sendi, cirit birit, kencing manis mahupun darah tinggi.

Malah ia turut digunakan untuk mengubati masalah cacing.

Bagi mereka yang melakukan kerja berat seperti di ladang atau nelayan, tumbuhan ini dikatakan mampu memberi tenaga dan mengurangkan keletihan.

Bagaimanapun sehingga kini belum dapat dibuktikan secara saintifik kebaikan pokok biak atau kini lebih dikenali sebagai ketum secara saintifik kerana ketum tidak digunakan dalam perubatan moden.

Malah kesan farmakologi daun ketum ke atas tubuh manusia juga tidak dikaji secara mendalam dan terperinci.

Cuma sejak kebelakangan ini isu ketum menjadi ‘perang mulut’’ banyak pihak yang berhujah mengenai buruk baik kesan sosial pengambilan ketum terutama di kalangan penagih dadah di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Daun ketum yang mengandungi alkaloid dikatakan dapat memberi kesan rangsangan bagi menggantikan dadah yang diambil terutama jenis opiat seperti heroin, morfin dan ubat batuk.

Namun menjadi kebimbangan apabila golongan penagih ini menyalahgunakan air ketum dengan mencampurkan bahan lain seperti ubat batuk dan ubat nyamuk untuk mendapatkan kesan rangsangan yang lebih bagi menghilang kebergantungan kepada dadah.

HARAM TANAM POKOK KETUM

Diletakkan di bawah Akta Racun 1952, ketum yang diharamkan penanamannya secara komersial oleh kerajaan menjadi semakin hangat diperkatakan apabila Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Zahidi Zainul Abidin mencadangkan agar Risda diberi kebenaran menanam ketum secara terkawal bagi membantu ekonomi pekebun kecil di seluruh negara.

Cadangannya itu membawa kepada polemik yang berpanjangan apabila banyak pihak menentang cadangan itu termasuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mahukan ketum diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zahidi dilaporkan memberi alasan daun ketum (kebanyakan negara memanggilnya kratom) mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan potensi pasaran yang sangat luas terutama di Eropah dan Jepun.

Negara jiran, Indonesia yang mengusahakan penanaman ketum terutama di Kalimantan dilaporkan menjana pendapatan RM10 juta sebulan.

Bukan sahaja pekebun kecil mendapat manfaat, kerajaan juga boleh mengutip cukai daripada hasil ekport ketum ke luar negara, kata Zahidi.

Pandangan Zahidi itu mendapat reaksi positif Ketua Penyelaras Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Dr Rusdi Abd. Rashid yang melihat ketum mampu membantu ekonomi negara jika tanamannya dilakukan secara terkawal.

Tambahan, sehingga kini tidak ada kajian yang benar-benar mendalam untuk membuktikan ketum membawa kesan buruk kepada masyarakat.

UMCAS sendiri melakukan dua kaji selidik tentang penggunaan ketum pada 2010 dan 2017 di Kedah dan Perlis untuk mengetahui kesannya kepada masyarakat.

Hasil dapatan itu menemui ketum tidak menyebabkan seseorang itu ketagihan untuk bergantung kepada ketum.

Sebaliknya penagih dadah jenis Opiat dan dadah sintetik Amphetamine-Type-Stimulants (ATS) dapat mengurangkan ketagihan dan kebergantungan kepada dadah dengan meminum air ketum.

KETUM TIDAK SEBAB KETAGIHAN

Dr Rusdi yang juga pakar perunding psikiatri di Pusat Pakar Universiti Malaya (PPUM) menjelaskan kajian itu yang dibuat pada tahun 2010 melibatkan 65 orang di Alor Setar, Kuala Kedah dan Sungai Baru, Perlis yang diketahui sebagai tempat tumpuan pengguna air ketum.

Analisis data kajian menunjukkan 50 peratus yang mengguna ketum adalah mereka yang pernah mengambil dadah terlarang sama ada opiat dan ATS manakala 30 peratus pula mereka yang dewasa dan orang tua sementara selebihnya golongan muda yang baru mencuba minum air ketum.

Golongan penagih ini mengambil air ketum sebanyak tiga hingga enam gelas sehari bagi mengekang ketagihan dadah.

Sementara orang dewasa, tua dan belia hanya mengambil sekali atau dua kali dalam seminggu.

“Mereka yang bukan penagih dadah seperti orang tua mengambil air ketum untuk menghilangkan sakit-sakit sendi dan merawat kencing manis. Ada juga yang mengambilnya untuk memberi tenaga kerana kerja berat di ladang.

“Tidak ada kesan ketagihan kepada mereka untuk mengambil ketum setiap masa,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, dalam kajian terbaharu tahun lepas, UMCAS membuat kajian di satu kawasan tanah rancangan di utara semenanjung dengan melakukan kaji selidik ke atas penghuni rumah yang berusia lebih 18 tahun.

Seramai 130 orang ditemu ramah dan 24.6 peratus adalah pengguna ketum.

Daripada jumlah tersebut, 30 peratus menggunakan ketum secara kerap dan yang lain-lain hanya mengambil sekali atau dua kali seminggu.

“Mereka yang mengambil ketum secara kerap ini adalah mereka yang pernah mengambil dadah jenis opiat seperti heroin dan ubat batuk dan juga mereka yang pernah mengambil dadah ATS seperti pil kuda dan syabu.

“Kita melihat ketum ada sifat mengurangkan kemudaratan terhadap mereka yang menggunakan dadah terlarang. Daripada pengamatan yang dibuat, jika penagih ini bertukar dari dadah seperti heroin dan pil kuda kepada mengambil ketum secara kerap, mungkin itu adalah lebih baik bagi kesihatan dan fungsi harian mereka ,” katanya.

Jika sebelum ini mereka mengambil dadah terlarang samada oral atau jenis suntikan dan kemudian bertukar kepada ketum, ia dapat mengurangkan merebaknya penyakit bawaan darah seperti HIV dan AIDS, hepatitis B dan C.

KETUM BERPOTENSI RAWAT KETAGIHAN DADAH

Kajian ketum bagi membantu mengatasi masalah penagihan dadah perlu dilakukan lebih mendalam dengan menggalakkan lebih banyak pusat penyelidikan dan universiti melakukannya.

Tidak mustahil ketum berpotensi menggantikan rawatan dadah sedia ada seperti rawatan terapi methadone bagi merawat ketagihan dadah jenis opiat yang diakui berkesan seluruh dunia.

Methadone , menurut Dr Rusdi mempunyai kesan sampingan seperti mengurangkan tenaga kelelakian, penyebab sembelit yang teruk, selain boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan lain seperti ubat untuk rawatan HIV dan ubat penyakit batuk kering.

“Kita masih perlukan rawatan alternatif bagi merawat ketagihan dadah dan kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak lagi kajian bagi rawatan ketagihan termasuk penggunaan ketum.

“Mungkin ketum boleh menambah sumber pendapatan negara melalui rawatan penagihan untuk rawatan dadah jenis ATS yang sehingga kini belum ditemui ubatnya lagi,” katanya.

Rawatan dadah ATS kini hanya bergantung kepada kaunseling dan kaedah itu kurang keberkesanannya kerana kombinasi ubat dan kaunseling adalah cara terbaik.

“Jika rawatan kaunseling sahaja tidak memadai kerana ia akan mengambil masa yang agak lama dan memerlukan kos yang agak tinggi. Selain itu bilangan kaunselor untuk melakukan kaunseling juga tidak mencukupi,” katanya.

Selain itu daripada kaji selidik yang dilakukan juga mendapati kualiti hidup yang mengambil ketum lebih baik daripada mereka yang tidak minum ketum terutama dalam aspek kesihatan fizikal.

Mereka lebih kuat bekerja, tidur lebih nyenyak, badan lebih bertenaga dan mereka berpuas hati dengan tahap fizikal badan mereka.

Kita mengukurnya berdasarkan “Kualiti Kehidupan” yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), katanya.

KEKALKAN KETUM DI BAWAH AKTA RACUN​​​​

Di bawah Akta Racun 1952, sesiapa yang mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara 4 tahun atau kedua-duanya.

Menurut Dr Rusdi, hukuman di bawah Akta Racun perlu dikuatkuasakan dan mungkin boleh ditambah baik dengan denda yang lebih tinggi bagi mengekang penyalahgunaan ketum.

Persoalan yang timbul, sekiranya diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya seperti yang dicadangkan AADK, apakah bentuk rawatan spesifik yang boleh diberikan di pusat serenti untuk mereka yang mengambil ketum.

“Adakah kita perlu hantar orang tua yang meminum ketum (tidak mencampurkan bahan- bahan terlarang) bagi menyembuh sakit-sakit sendiri, lemah badan ke dalam pusat serenti, “ katanya.

Beliau menegaskan ada baiknya kajian menyeluruh dijalankan ke atas ketum sebelum ia diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya kerana tindakan itu turut memberi kesan kepada penyelidik untuk membuat kajian yang lebih teliti disebabkan kekangan undang-undang.

“Kita tidak mahu kerugian dari segi ekonomi, potensi dalam perubatan dan penyelidikan hanya disebabkan segelintir mereka yang menyalahgunakannya, “ kata Dr Rusdi. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com