'Paksu' Didakwa Atas 587 Sumbang Mahram Terhadap 3 Anak Saudara Kemuka Representasi


KUALA LUMPUR - 'Paksu’, bapa saudara yang didakwa atas 587 pertuduhan melakukan sumbang mahram dan satu pertuduhan cubaan rogol terhadap tiga anak saudaranya, mengemukakan representasi ke Jabatan Peguam Negara bagi menarik balik pertuduhan ke atasnya.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan demikian pada prosiding sebutan semula kes itu di dua Mahkamah Sesyen Ampang di sini, semalam.

“Peguam telah memasukkan satu surat representasi pada 26 Februari lepas. Keputusan representasi belum lagi diterima, pohon tarikh sebutan untuk keputusan representasi,” kata Hashimah sambil menambah bahawa dokumen berkaitan kes itu telah diterima dan akan diserahkan kepada pihak pembelaan semalam.

Hakim Azrul Darus menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes bagi mendengar keputusan representasi itu.

Di mahkamah berasingan, Timbalan Pendakwa Raya M. Arunjothy turut memohon tarikh sama untuk sebutan semula bagi keputusan tersebut dan Hakim Suzanna Hussin membenarkan permohonan itu.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam Shahrul Nizam Azwir memberitahu surat representasi yang dihantar itu bertujuan untuk menarik balik semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

“Berkemungkinan kes ini akan ditarik balik oleh pengadu iaitu abang mangsa. Laporan untuk tarik balik kes telah dibuat dan mungkin pengadu akan hadir pada 12 April ini untuk proses tarik balik tersebut,” katanya.

Pada 2 Februari lalu, tertuduh yang merupakan seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas 334 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya sendiri, sejak mangsa berusia lima tahun, pada 2010 sehingga Januari 2018.

Pada 5 Februari, dia mengaku tidak bersalah atas 253 pertuduhan sama dan satu tuduhan cubaan rogol terhadap dua lagi anak saudaranya yang merupakan adik mangsa pertama, masing-masing antara Januari 2006 dan Disember 2013 serta antara Januari dan Disember 2017.

Bagi 587 pertuduhan  sumbang mahram, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi satu pertuduhan cubaan rogol dia didakwa mengikut Seksyen 376B/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan. -Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com