Menang Kes Saman Fitnah, Maria Farida Dapat Ganti Rugi Berjumlah RM400,000


KUALA LUMPUR  - Pelakon Datin Maria Farida hari ini beroleh ganti rugi berjumlah RM400,000 yang perlu dibayar oleh bekas isteri suaminya dan anak tirinya selepas memenangi kes saman fitnah terhadap mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan kesan fitnah yang dilakukan oleh ahli perniagaan kosmetik, Hadijah Mohamed Mokhtar dan pramugari, Nur Shazleen Anis Mohd. Yusoff terhadap Maria lebih-lebih lagi kedua-dua beranak  itu mempunyai ramai pengikut dalam instagram masing-masing. 

Tambahan pula menurut Wan Ahmad Farid, mahkamah mengambil kira sikap Hadijah yang enggan menghadiri perbicaraan sungguhpun wanita itu mengetahui berkenaan tindakan saman terhadapnya serta tidak menunjukkan rasa kesal dan insaf berhubung apa yang telah dilakukan terhadap Maria Farida. 

Dalam keputusan itu, mahkamah mengarahkan supaya Hadijah membayar ganti rugi RM300,000 manakala Nur Shazleen Anis RM100,000 dan kos RM50,000. 

Pelakon itu diwakili peguam Tengku Haris Tengku Rostam. Maria Farida bagaimanapun tidak hadir ketika keputusan dibuat. 

Aktres tersebut memenangi kes saman itu selepas Wan Ahmad Farid pada 7 November tahun lalu memasukkan perintah penghakiman penuh ekoran kegagalan Hadijah  dan  Nur Shazleen Anis menghadiri perbicaraan selain gagal mematuhi arahan mahkamah supaya mereka memfailkan dokumen untuk perbicaraan.

Sumber: Utusan online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com