Lelaki Dicekup Cuba Curi Ferrari Milik Sultan Johor


POLIS berjaya berkas seorang lelaki dipercayai menceroboh Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor dan cuba melarikan kereta jenis Ferrari milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, suspek yang berasal dari Gelang Patah, Johor dilaporkan menceroboh masuk ke kawasan istana melalui pintu pagar East Lodge, Jalan Straits View, sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Memetik portal BH Online, ketika kejadian terdapat seorang anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF), sedang mengawasi pintu pagar berkenaan.

Bagaimanapun, suspek yang memandu Proton Waja pada ketika itu dikatakan tidak berhenti sebaliknya terus masuk ke dalam pekarangan istana.

Suspek yang turut memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah itu kemudiannya dipercayai menuju ke garaj kereta istana berkenaan.

Sewaktu berada di garaj, seorang kakitangan istana terlihat kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan masuk ke dalam kereta Ferrari warna biru sebelum kakitangan terbabit dengan segera menarik kunci kereta berkenaan.

Suspek kemudian dilaporkan berjalan ke kereta milik sebelum bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan terbabit melalui laluan sama di pagar East Lodge.

Namun, difahamkan suspek telah berjaya ditahan oleh pihak polis selepas beberapa jam laporan diterima.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Khader Mohd berkata, Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh. Setakat ini suspek yang ditahan reman sedang disiasat,” katanya.

Pun begitu, beliau enggan mengulas lanjut berhubung motif sebenar suspek. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com