Sultan Johor Murka Laluan Jadi Litar Lumba Haram


JOHOR BAHRU -Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan tindakan kumpulan mat rempit yang terus menjadikan Jalan Pantai Lido di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), dekat sini, sebagai medan lumba haram.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda menerima banyak aduan khususnya daripada pesakit HSA yang tidak dapat tidur disebabkan bunyi bising enjin motosikal kerana perlumbaan haram yang kerap berlaku terutama pada lewat malam.

Sehubungan itu, baginda mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam aktiviti itu.

"Berhenti daripada terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah ini. Fikirkan mengenai ketenteraman awam dan pesakit di hospital yang memerlukan rehat secukupnya," titah baginda yang dimuat naik dalam Facebook (FB) rasmi Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Baginda bertitah, Almarhum anakanda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim pernah menyebut bahawa dia sukar beradu pada waktu malam ketika menerima rawatan di Wad Diraja HSA disebabkan bunyi kuat motosikal.

Sultan Johor menegaskan, keadaan sama dialami oleh menantu baginda, Che' Puan Khaleeda Bustamam ketika melahirkan kedua-dua anakandanya.

"Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isteri tidak dapat beradu pada waktu malam disebabkan gangguan bunyi motosikal yang berlumba dari jam 12 tengah malam sehingga 3 pagi.

"Saya juga mengalami pengalaman yang sama ketika menerima rawatan di Wad Diraja HSA," titah baginda.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com