Salah Guna Antibiotik Berleluasa Di Asia Tenggara


BANGKOK – Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) memberi amaran penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antibiotik dalam makanan yang semakin berleluasa di Asia Tenggara akan memberi kesan serius terhadap manusia serta haiwan.

Ini kerana sekiranya tidak dikawal, jangkitan bakteria akan menjadi semakin kebal terhadap rawatan.

Ketua Pegawai Veterinar FAO, Juan Lubroth menge­luakan amaran itu ketika mesyuarat antarabangsa memfokuskan rintangan terhadap antimikrob (AMR) di ibu kota negara ini.

Tambah Lubroth, ancaman AMR telah berkembang di keba­nyakan tempat seperti di bandar besar di Asia, di mana berlakunya peningkatan populasi serta pengeluaran hasil pertanian dan makanan.

“Di Asia Tenggara, kita boleh menganggapnya sebagai hab tumpuan susulan pertumbuhan penduduk, pengeluaran makanan dan pembangunan dinamik,” ujar Lubroth.

Menurut Lubroth lagi, FAO telah memberikan pendidikan kepada petani berhubung bahaya penggunaan antibiotik bagi me­rangsang pertumbuhan haiwan dan menyarankan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat berhubung pengeluaran makanan.

“Ini bukan mengenai undang-undang dalam bentuk hitam putih sahaja, ia perlu dite­rapkan,” katanya.

Dalam pada itu, satu laporan dikeluarkan semalam oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan 500,000 orang di 22 buah negara yang disyaki me­ngalami jangkitan bakteria, dilihat kebal dengan antibiotik.

“Antara jangkitan biasa dan berpotensi paling bahaya di dunia terbukti kebal dengan ubat,” kata Pengarah Sekretariat Rintangan Antimikrob WHO, Marc Sprenger dalam satu kenyataan dikeluarkan. – REUTERS

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com