Pesawah Bakal Terima Bantuan RM200 Mulai Mac


ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) bakal mengagihkan bantuan kepada sejumlah 57,000 pesawah di bawahnya.

Pesawah akan menerima manfaat bantuan sejumlah RM200 sebulan mulai pertengahan Mac depan.

Pengerusi Mada, Datuk Othman Aziz berkata, bantuan RM200 sebulan itu akan diberikan kepada pesawah di kawasan Mada yang melibatkan peruntukan sebanyak RM34 juta.

"Pemberian bantuan RM200 sebulan itu diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 demi membantu meringankan beban pesawah dalam tempoh menunggu hasil tuaian.

"Untuk itu, pesawah diharapkan bersabar kerana masing-masing akan menerima bantuan wang RM200 sebulan pada waktu bersesuaian tidak lama nanti," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi Musim 1/2018 di Ibu Pejabat Mada Ampang Jajar, di Alor Setar, pada Isnin.

Apa yang difahamkan Othman, Mada dijangka akan membuat bayaran bantuan bulanan kepada pesawah bagi tanaman padi musim 1/2018 mulai pertengahan Mac hingga April nanti.

Tambahnya, bantuan yang dihulurkan itu adalah satu bentuk keprihatinan kerajaan dan bagi mengurangkan bebanan kos perbelanjaan dan menyara keluarga bagi tempoh tiga bulan sementara mereka menunggu hasil tuaian padi.

Dalam pada itu, pembayaran bantuan RM200 ini akan diberikan Mada kepada pesawah mengikut Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing.

"Jadi, kita minta pesawah merujuk dengan PPK samada nama mereka berdaftar dengan pertubuhan itu demi memastikan tiada nama yang terlepas pandang," katanya.

Bagi mengelakkan kes nama tercicir, pesawah disarankan segera berdaftar dengan pertubuhan itu demi mengelakkan pesawah yang tidak mengusahakan bendang yang mendapat bantuan itu.

Katanya, pihak Mada ingin memastikan individu sepatutnya mendapat bantuan pesawah akan menerima bayaran wang RM200 itu, dan begitulah sebaliknya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com