Kilang Punca Pencemaran Sungai Sayong Diberi Amaran


PUTRAJAYA – Kilang memproses baja tinja dan menternak ayam di Johor yang dikenal pasti menjadi punca kepada pencemaran ammonia di Sungai Sayong bakal berdepan tindakan tegas, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata tindakan tegas termasuk ditutup akan dikenakan jika pemilik kilang itu gagal menyelesaikan masalah pencemaran tersebut dalam tempoh enam bulan yang diberikan kementerian.

“Kementerian memandang serius kes ini kerana bahan buangan daripada kilang itu telah menjadi punca pencemaran kepada empat Loji Rawatan Air (LRA) di Johor dengan satu daripadanya membekalkan air ke Singapura dan tiga lagi membekalkan air kepada lebih 60,000 akaun pengguna di negeri tersebut.

“Semasa melawat ke kilang itu hujung bulan lepas saya telah memberi amaran kepada kilang berkenaan untuk mengambil langkah segera dengan membaiki sistem rawatan terhadap najis ayam jika mahu terus beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Alam Sekitar dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar di sini semalam.

Wan Junaidi berkata sehingga itu, pihaknya berpegang kepada janji pengusaha tersebut bahawa mereka akan menggunakan teknologi yang diimport dari Taiwan untuk mengeringkan najis ayam dengan cepat sekali gus mengatasi masalah pencemaran di Sungai Sayong.

Mengenai mesyuarat itu, Wan Junaidi berkata kementerian mempertimbangkan untuk menggunakan pendekatan membina tanah lembap buatan atau ‘constructed wetland’ sebagai alternatif jangka panjang dalam menangani pencemaran sumber air.

Beliau berkata inisiatif yang berfungsi sebagai rawatan dalam air secara semula jadi itu akan lebih berkesan bagi merawat sistem air kumbahan daripada sisa industri seperti seperti perlombongan, makanan, pembuatan logam dan kumbahan domestik melalui penggunaan kaedah kejuruteraan bioteknologi.

Wan Junaidi berkata mesyuarat juga mengesyorkan supaya kerajaan negeri yang berkenaan mewartakan kawasan kelip-kelip yang mempunyai tarikan ekopelancongan.

Katanya langkah itu bertujuan mengekalkan kelestarian populasi kelip-kelip selain memenuhi keperluan pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biodiversiti di habitat semula jadi mereka. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com