Peniaga Online Kena Tembak Masih Trauma


KOTA BHARU - "Saya mungkin akan menyewa kedai lain selepas ini kerana masih trauma dengan kejadian yang berlaku," kata peniaga dalam talian yang cedera ditembak, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Mohd Irfan Abdullah, 26, ditembak oleh sekumpulan penjenayah di kedai miliknya di Banggol Kulim, Rantau Panjang.

Akibat kejadian itu, mangsa yang sering menunjukkan wang tunai dan barang kemas di Facebook mengalami kerugian RM230,000 selepas barang kemas bernilai RM150,000 dan wang tunai RM80,000 dilarikan perompak.

Mohd Irfan yang masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) berkata, akibat kejadian itu, beliau terpaksa menjalani pembedahan di kaki dan keadaannya semakin pulih.

"Apa yang berlaku masih terbayang dalam fikiran saya. Saya tidak menyangka kehadiran tiga lelaki bertopeng yang mengaku sebagai pelanggan rupanya mempunyai niat tertentu.

"Kami bercakap selama 10 minit sebelum perompak itu mengugut supaya saya menyerahkan barangan berharga, termasuk wang tunai.

"Mereka kemudiannya mengambil barang kemas dan wang tunai sebelum melepaskan satu das tembakan yang terkena di kaki saya," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohd Irfan berkata, dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah, beliau menghubungi kakaknya untuk meminta bantuan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com