Korea Selatan Buat Dana Bantu Hamba Seks Perang


SEOUL – Diplomat Korea Selatan pada Selasa berkata negara itu akan memperuntukkan dananya sendiri bagi membantu mangsa perhambaan seks oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Ia sekali gus mengulangi pendirian Seoul bahawa perjanjian tahun 2015 dengan Jepun tidak dapat menyelesaikan jenayah perang terhadap kemanusiaan, lapor agensi berita rasmi China, Xinhua.

Menteri Luar, Kang Kyung-wha memaklumkan sidang akhbar disiarkan menerusi televisyen bahawa perjanjian pada 2015, gagal mencerminkan pandangan mangsa, tidak boleh menjadi resolusi sebenar kepada isu “comfort women”.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa pemerintah Korea Selatan tidak akan menuntut rundingan semula dengan kerajaan Jepun memandangkan perjanjian 2015 adalah perjanjian rasmi antara kedua-dua negara.

Korea Selatan sebelum ini mencapai perjanjian muktamad dan tidak boleh ditarik balik dengan kerajaan Jepun yang dipimpin Perdana Menterinya, Shinzo Abe pada 28 Disember 2015 berhubung isu mangsa “comfort women”.

Namun kerajaan baharu Korea Selatan di bawah Presiden Moon Jae-in, yang mengambil alih jawatan pada Mei tahun lepas, mengkaji perjanjian itu susulan bantahan mangsa sekali gus mendedahkan perjanjian sulit dengan Jepun.

Berikutan pengumuman hasil kajian itu, Jae-in berkata bahawa perjanjian 2015 itu tidak dapat menyelesaikan isu “comfort women”. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com