7 Angkatan Pelukis Kedah Pamer Karya Di Pasaraya Besar Mydin


ALOR SETAR - Tujuh pelukis daripada Angkatan Pelukis Kedah, mempamerkan karya seni mereka selama tiga hari di Pasaraya Besar Mydin dekat Sungai Petani, bermula Jumaat dan berakhir semalam.

Yang Dipertua Angkatan Pelukis Kedah, Judin Ahmad berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang tempoh program berlangsung.

Antara yang menarik  termasuklah demonstrasi melukis potret dan karikatur, pameran dan jualan lukisan, serta pertandingan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah.

"Ini merupakan aktiviti pertama Angkatan Pelukis Kedah bagi tahun ini, banyak lagi aktiviti bakal menyusul...matlamat kita untuk memperkenalkan persatuan kepada masyarakat umum serta menarik minat generasi muda terhadap seni," katanya.

Selain itu, berpuluh-puluh karya seni yang dihasilkan pelukis dari Kedah turut dipamerkan sepanjang tiga hari pameran berlangsung, tambahan jualan karya kepada pengunjung yang berminat.

Sementara itu, Judin berkata persatuan yang diwujudkan sejak tahun 1977 itu kini mempunyai 57 anggota yang aktif.

"Aktiviti seni akan digerakkan ke merata tempat dan tiga acara tahunan terbesar iaitu Pertandingan Melukis Sempena Hari Kebangsaan, Pertandingan Melukis Tahunan Angkatan Pelukis Kedah dan Pertandingan Melukis Kedahku Indah II, juga akan diteruskan tahun ini.

"Saya juga ingin mengalu-alukan jika ada anak kelahiran Kedah yang berminat menyertai persatuan kami dan mereka boleh berhubung dengan saya menerusi emel judin_ahmad@yahoo.com," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com