20 Rumah Rosak Dipukul Ribut Di Kepala Batas P.Pinang


KEPALA BATAS - Sebanyak 20 rumah dekat Paya Keladi Hujung di sini, rosak akibat dipukul angin kencang dalam kejadian ribut yang melanda kawasan itu, lewat petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin, berkata kejadian ribut yang berlaku sekitar jam 7 malam itu, menerbangkan bahagian bumbung rumah selain ada kediaman dihempap pokok.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Pusat Khidmat Parlimen Kepala Batas yang bergegas ke lokasi kejadian, menganggarkan 20 rumah terbabit dalam kejadian itu dan proses penilaian kerugian sedang dilaksanakan.

"Dalam tinjauan ini, kita membawa tukang rumah untuk lihat apa yang perlu diperbaiki dan meneliti kos serta kerugian yang dialami penduduk ekoran kejadian ribut ini.

"Proses baik pulih rumah penduduk yang terjejas ini akan dijalankan pagi esok," katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.


Selain daripada kerosakan rumah, kejadian berkenaan juga menyebabkan jalan utama sekitar kawasan itu terhalang selepas berlakunya kejadian pokok tumbang.

Roslan berkata, keadaan masih terkawal namun menasihatkan penduduk serta pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan.

Katanya, polis dan agensi keselamatan lain kini berada di sepanjang kawasan itu bagi memantau keadaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com