Budak Perempuan 3 Tahun Terperangkap Dalam Kereta


ANGGOTA bomba berjaya menyelamatkan kanak-kanak perempuan yang terperangkap di dalam kereta di Jalan Kurniawan, Taman Kurnia, Johor Bahru, semalam.

Ketua operasi yang bertugas, Mohd Kamil Zulkifli dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.24 petang berhubung kejadian itu.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati kanak-kanak perempuan dalam lingkungan tiga tahun terkunci di dalam kereta.

"Kemungkinan dia sudah terperangkap antara 10 hingga 15 minit," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menggunakan peralatan khas untuk membuka kunci tanpa memecahkan cermin kereta sebelum kanak-kanak itu dikeluarkan dalam keadaan selamat.

Katanya, kanak-kanak itu hanya menangis dan tidak mengalami masalah kepanasan atau lemas memandangkan cuaca tidak panas dan operasi menyelamat hanya sekitar 10 minit.

"Difahamkan, ibu dan bapa kanak-kanak itu turun dari kereta untuk ke kedai makan berhampiran dan seorang lagi anak mereka berusia dalam lingkungan lima atau enam tahun menutup pintu dan kereta terkunci sebelum mangsa sempat turun.

"Ibu bapa mangsa bukan cuai dengan meninggalkan kanak-kanak itu di dalam kereta, sebaliknya kereta terkunci secara automatik," katanya.

Mohd Kamil berkata, operasi kemudian ditamatkan pada 6.50 petang.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com