Pemegang Tiket Final Piala Malaysia Dapat Insurans


ALOR SETAR – Bola sepak negara memasuki dimensi baharu apabila setiap pemegang tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 melibatkan Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam Sabtu depan dilengkapi perlindungan insu­rans.

Menurut Pengarah Pertandingan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2017, Mohd. Shazli Shaik Mohd, perlindungan tersebut penting memandangkan pernah berlaku kes kemalangan ke atas penonton yang hadir atau pulang daripada me­nyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia berlangsung.

Tambahnya, sebanyak 72,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Kedah dan JDT kali ini dengan masing-masing akan menerima 30,000 tiket kelas dewasa dan 750 kanak-kanak, dan akan mula dijual pada 1 November ini pukul 9 pagi.

Jelasnya, sebanyak 10,500 tiket lagi akan dijual menerusi dalam talian pada 30 Oktober bermula 9 pagi, dengan pecahan 10,000 untuk dewasa, manakala 500 bagi kanak-kanak.

“Tiket bagi dewasa berharga RM50 manakala kanak-kanak RM5 termasuk GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dan perlindungan insurans. KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) dan pihak pengurusan JDT akan menjual tiket (bercetak) di stadium masing-masing.

“Kali ini kita ada kelainan, ia­itu setiap pemegang tiket mendapat perlindungan insurans kerana terdapat kes kemalangan yang berlaku sebelum dan selepas perlawanan sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

“Pemegang tiket boleh me­nuntut insurans jika terbabit dalam kemalangan dalam tempoh 12 jam sebelum dan selepas perlawanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat; Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Mohd. Fahmy Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin.

Selan itu, Shafien berkata, untuk pertama kalinya pihak polis akan meletakkan ‘mata-mata’ dalam kalangan kedua-dua penyokong pasukan untuk membendung kejadian tidak diingini berlaku ketika perlawanan berlangsung.

“Pintu mulai dibuka pukul 4 petang. Penyokong JDT akan melalui pintu A dan D, manakala Kedah B dan C. Kami akan membuat pemeriksaan fizikal (ke atas setiap penonton) di setiap pintu,” katanya yang dipetik dari Utusan Online. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com