Taman Relau Indah Di Bandar Baharu Terjejas Teruk,155 Rumah Dilanda Banjir Lumpur


ALOR SETAR- Hampir 200 rumah di Baling dan Bandar Baharu dinaiki air berikutan banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam petang semalam.

Bagaimanapun tiada penduduk dipindahkan dalam kejadian yang bermula jam 6 petang.

Di Bandar Baharu, Taman Relau Indah paling teruk terjejas dengan 155 rumah dinaiki air sehingga paras 0.5 meter.

Pegawai Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Rokiah Mohd Sidek, berkata kawasan lain yang turut terjejas dalam banjir ialah Kampung Sungai Punti, Kampung Setoi dan Kampung Majidee, masing-masing dekat Serdang, di sini.

"Tinjauan mendapati Taman Relau Indah bukan saja dinaiki banjir, malah ia turut membawa bersama lumpur dan ia kejadian pertama membabitkan banjir lumpur di sini.

"Kami bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang menjalankan pemantauan di kawasan terjejas," katanya.


Ini adalah kejadian kedua selepas 19 kediaman di Kampung Tebuan dan Kampung Jalan Baru, masing-masing di Sedim, dilanda banjir kilat petang kelmarin, dengan enam penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Di Baling, sekurang-kurangnya 10 rumah di Mukim Pulai, dinaiki air, masing-masing empat rumah di Kampung Sirako dan Charok Kerian Ulu, manakala dua lagi di Kampung Sungai Limau.

Berdasarkan maklumat, hujan lebat bermula jam 4 petang, sebelum air meningkat dan berlaku banjir kilat.

Difahamkan, dua kenderaan milik penduduk di Kampung Sungai Limau juga tidak dapat dipindahkan berikutan pemiliknya tiada di rumah.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz, berkata cuaca tidak menentu sejak akhir-akhir ini menyebabkan beberapa kawasan mudah berlaku banjir kilat dan agensi penyelamat sudah bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh.

Khamis lalu, sekurang-kurangnya 50 kediaman sekitar Mukim Siong di sini, terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat.

Petang semalam pula, lebih 70 rumah di sekitar Kupang, di sini dilapor rosak dibadai ribut, dengan pokok tumbang di beberapa lokasi sehingga menghempap rumah dan pokok.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com