Kisah Sebenar Prebet Adam Kian Hangat Terbongkar, Terpaksa Diterjemah Ke BI


ALOR SETAR - Sambutan hangat terhadap pendedahannya tentang hakikat sebenar yang tersembunyi di sebalik kisah amukan Prebet Adam di ibu negara sekitar 1987 telah menyebabkan bukunya diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.

Penulis buku tersebut, Syahril A Kadir berkata, "True Story: Amok At Chow Kit" yang merupakan buku terjemahan kepada buku "Konfesi Prebet Adam; Malam Sial Untuk Adam. Membunuh. Dibunuh Atau Mampus Bunuh Diri" akan berada di pasaran dalam tempoh terdekat.

"Sambutan hebat ke atas buku Konfesi Prebet Adam membuatkan kami mengambil keputusan untuk menterjemah buku eksklusif ini ke dalam bahasa Inggeris.

"InshaAllah dalam masa terdekat ini buku Amok At Chow Kit akan berada di pasaran tempatan dan pesta buku antarabangsa hopefully," katanya kepada Kedahnews.com ketika dihubungi baru-baru ini.

Syahril merupakan seorang bekas wartawan terkenal yang pernah bertugas sebagai Penolong Ketua Meja Jenayah di akhbar Utusan Malaysia, Penyunting Kanan dan Ketua Wartawan Meja Jenayah, Laporan Khas dan Bongkar di Sinar Harian sebelum menyertai sebuah syarikat produksi sebagai Penolong Naik Presiden (Editorial).

Beliau kemudian menyertai stesen TV Al-Hijrah sebagai Editor di Meja Berita dan kemudian berjawatan Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Baca: Kes Prebet Adam: Nama Baik Kesultanan Johor Perlu Dibersihkan

Beliau menjelaskan bahawa buku terjemahan berbahasa Inggeris itu berkemungkinan besar bakal dilancarkan oleh peguam bela yang bertanggungjawab membela Prebet Adam di sepanjang kes perbicaraan berlangsung, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam tempoh terdekat ini.


Buku "Konfesi Prebet Adam; Malam Sial Untuk Adam. Membunuh. Dibunuh Atau Mampus Bunuh Diri", terbitan Dubook, yang menggemparkan negara itu sebelum ini laris mendapat sambutan ramai dan beberapa kali dilaporkan "sold out", terpaksa diulang cetak bagi memenuhi permintaan ramai.

Baca: Keadilan Buat Prebet Adam & Almarhum Sultan Iskandar!

Buku tersebut mengisahkan tentang pengakuan Adam Jaafar berhubung kejadian sebenar tentang kisah amukannya di sekitar Chow Kit pada 1987 dan temubual-temubual Syahril dengan beberapa tokoh yang bertanggungjawab secara langsung berdepan dengan insiden amukan tersebut.

Selain Adam, ia turut mengandungi kenyataan dari Asisten Panglima Operasi Tentera Darat, Datuk Abdul Ghani Abdullah yang bertanggungjawab berunding, memujuk dan berjaya membawa bekas renjer itu untuk menyerah diri kepadanya.

Baca:  Ulasan: Konfesi Prebet Adam - Part I

Tan Sri Zaman Khan
Buku berkenaan juga memaparkan kenyataan panjang lebar dari bekas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Zaman Khan yang digeruni penjenayah di zaman itu yang bercerita tentang kejadian sebenar berkaitan kes tersebut.

Kenyataan Muhammad Shafee juga turut dibukukan di dalamnya yang menyaksikan persoalan-persoalan baharu yang seolah-olah mengandungi rahsia di sebalik cerita untuk dibongkarkan berkaitan seorang tokoh negarawan ternama.


Menariknya, buku itu juga secara tidak langsung telah menafikan segala tohmahan propaganda dan fitnah pihak tertentu yang dipercayai sengaja direka serta dilemparkan kepada Sultan Johor yang ketika itu merupakan Yang DiPertuan Agong.

Mitos yang mengatakan kononnya Adam mengamuk disebabkan oleh adiknya dibunuh oleh kerabat DiRaja Johor dibuktikan tidak benar dan palsu oleh buku ini.

Baca: Ulasan: Malam Sial Untuk Adam - Part II

Meskipun kejadian sebenar tentang apa yang berlaku telah disahkan oleh pihak-pihak yang terlibat termasuk Adam yang sanggup membuat "Statutory Declaration" (akuan bersumpah), namun masih ramai yang lebih rela tertipu dengan propaganda cerita rekaan yang tersebar dari mulut ke mulut yang dipercayai telah dicetus pihak tertentu ketika itu.

Untuk rekod, krisis Perlembagaan 1983 tercetus menyaksikan kuasa budi bicara Yang DiPertuan Agong yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan telah dimansuhkan Perdana Menteri melalui pindan perlembagaan.

Difahamkan bahawa krisis yang berlaku telah menyebabkan konflik berlaku di antara rejim Perdana Menteri ketika itu dengan Majlis Raja-Raja di mana media arus perdana sering melaporkan berita berbaur propaganda yang memburuk-burukkan imej kerabat-kerabat DiRaja.

Selain itu, pihak kerajaan juga ketika itu giat menganjurkan perhimpunan raksasa dengan tema "setia kepada pemimpin" mengelilingi seluruh negara dan cerita-cerita yang tidak diketahui kesahihannya tersebar dari mulut ke mulut.

Insiden amukan Prebet Adam berlaku rentetan dari kesan tersebut yang kemudian membarahkan krisis perlembagaan 1988 yang menyaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas telah dipecat dari jawatannya oleh tribunal khas.

Walau bagaimanapun, Tun Salleh Abas pada 2005 telah menerima pampasan "ex-gratia" dari tindakan tidak wajar tersebut di zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, berjumlah RM5 juta.

Namun apa yang jelas, buku istimewa berkenaan Prebet Adam ini juga mencetus hikmah menegakkan kebenaran di sebalik pembohonan cerita karut yang bertebaran di negara ini sejak 30 yang lampau dan hanya mampu "dikorek" sebebas-bebasnya oleh Syahril selepas pihak tertentu "hilang kuasa".

Sesungguhnya Allah telah membersihkan nama dan imej Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, dan seluruh kerabat DiRaja Johor dari terus terpalit dengan fitnah dan pandang serong akibat pihak yang tidak bertanggungjawab. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com