Kereta Polis Kena Curi Di Rumah


MUALLIM - Sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang pegawai polis dicuri di Kampung Baru Slim River, semalam.

Asisten Superintendan Mad Husin Ismail, 55, yang bertugas sebagai Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim hanya menyedari kehilangan Toyota Hilux miliknya itu kira-kira jam 6 pagi selepas mendapati ia tiada di ruang tempat letak kenderaan rumahnya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di susur keluar Plaza Tol Slim River menunjukkan kenderaan dipercayai milik mangsa melalui kawasan berkenaan pada jam 4.30 pagi, namun sudah ditukar nombor pendaftaran.

Kecurian kenderaan itu turut menyebabkan mangsa hilang pelbagai dokumen penting dan aksesori polis, selain wang tunai serta buku akaun bank yang ditinggalkan dalam kenderaan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusuf, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, sepanjang tahun ini, empat kes kecurian pacuan empat roda dilaporkan di daerah Muallim.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com