DAP Dicabar Gariskan Dasar Demokrasi 'Kerajaan Pakatan Harapan'



KULIM - DAP diminta menggariskan dasar demokrasi yang hendak dilaksanakannya jika Pakatan Harapan yang diketuai parti itu berjaya menubuhkan kerajaan selepas Plilihan Raya Umum Ke-14.

Cabaran itu dilontarkan oleh Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim kerana parti itu mempunyai lebih banyak kerusi dalam Dewan Rakyat daripada parti-parti lain dalam pakatan itu.

DAP sekarang mempunyai majoriti dengan 38 kerusi parlimen manakala Parti Keadilan Rakyat (26) , Parti Amanah Negara (7) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia hanya satu kerusi, kata Shahidan yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

"Saya harap DAP jangan takut untuk bersuara bagaimana mereka mahu mengamalkan dasar demokrasi ke atas parti lain sekiranya menang majoriti kerusi dalam pilihan raya umum nanti," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada media selepas merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kulim-Bandar Baharu, di sini, semalam.

 Bagaimanapun, kata Shahidan,  amat mustahil untuk pembangkang meraih kemenangan majoriti pada PRU kali ini kerana mereka memerlukan 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

''Macam mana nak menang sedangkan sekarang DAP hanya ada 38 kerusi. Paling banyak mungkin empat atau lima kerusi sahaja yang mereka boleh menang nanti," katanya lagi.

Beliau menjelaskan hanya UMNO dan Barisan Nasional yang mampu memberikan keadilan kepada penduduk di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Ini telah dibuktikan sejak BN memerintah negara selama lebih 60 tahun kerana masing-masing bangsa mempunyai hak seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara, kata Shahidan. 

Sementara itu beliau menggesa agar anggota UMNO tidak berdiam diri apabila diserang oleh pembangkang yang sebenarnya hanya mencari dan mencipta kesalahan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN  kepada rakyat.

"Pembangkang sengaja menutup mata tentang kesejahteraan yang dinikmati rakyat dan sudah sampai masanya kita bangkit menyerang tohmahan dan fitnah mereka," katanya.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com