Melaka Antara Destinasi Pelancongan Terbaik Asia


AYER KEROH - Melaka tersenarai antara 10 destinasi pelancongan terbaik Asia 2017 yang dikeluarkan firma panduan pelancong terbesar dunia, Lonely Planet.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata pencapaian itu sekali gus membuktikan kejayaan kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam mempromosi negeri itu ke pentas antarabangsa.

"Kita menyambut baik penyenaraian itu yang dilihat sebagai bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam mempromosikan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan utama di rantau ini.

"Penyenaraian ini juga satu pengiktirafan besar kepada Melaka yang diisytiharkan sebagai Tapak Bandaraya Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, semalam.

Selain Melaka yang terletak di tangga kesembilan dalam senarai 10 destinasi pelancongan terbaik Asia, Lonely Planet turut menamakan Gansu, China; Selatan Tokyo, Jepun; Kerala Utara, India; Keong Saik Road, Singapura; Astana, Kazakhstan; Takayama, Jepun; Xi'an, China; Hill Country, Sri Lanka dan Raja Ampat, Indonesia.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Idris berkata Barisan Nasional (BN) negeri tiada masa untuk bermain politik, sebaliknya mahu memfokuskan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Semua kepemimpinan, termasuk parti komponen diingatkan untuk memberi tumpuan kepada gerak kerja, selain memperkukuhkan jentera parti untuk berdamping dengan masyarakat.

"Kita tidak mahu bermain dengan politik," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com