MBI Kedah Selaraskan GLC Elak Persaingan, Tambah Hasil


ALOR SETAR - Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah akan menyelaraskan semua aspek perniagaannya bersama beberapa syarikat milik kerajaan negeri (GLC) yang lain bagi memastikan tidak berlaku pertindihan perniagaan selain bagi mendapatkan pulangan dan keuntungan yang lebih baik.

Antara GLC yang terlibat ialah  Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin berkata penyelarasan ini diharap mampu mendatangkan pulangan lebih baik kepada GLC terlibat serta kerajaan negeri dengan setiap syarikat berpeluang menjalankan tugas secara lebih sempurna dan fokus dalam bidang tertentu sahaja.

"Persepakatan ini juga diharap dapat mengurangkan persaingan sesama sendiri dan  semua pihak akan lebih berdaya maju sekali gus membawa pulangan lebih baik kepada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis 'Mailah Raya MBI' di Resort Keriang Hill di sini, malam semalam. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang  hadir pada majlis turut melancarkan logo serta laman web baharu MBI sebagai salah satu langkah pembaharuan syarikat tersebut.

Sementara  itu, Ahmad Shukri menjelaskan pihaknya sedang mengusahakan beberapa projek termasuk teknologi hijau, infrastruktur dan hospitaliti di beberapa kawasan, antaranya membabitkan pembangunan Pulau Langkawi.

"Ada beberapa projek sedang kami usahakan namun ia belum boleh diumumkan " katanya.

 Mengulas mengenai logo dan laman web pula, Ahmad Shukri berkata logo baharu itu adalah hasil kerjasama serta daya kreativiti semua kakitangan MBI bagi melambangkan organisasi lebih mantap, pragmatik dan dinamik dalam menjalankan perniagaan bagi pihak kerajaan negeri.
- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com