Keluarga Rakyat Malaysia Dipindahkan Dalam Kebakaran


LONDON – Sebuah keluarga rakyat Malaysia adalah antara mereka yang dipindahkan semasa berlaku kebakaran yang memusnahkan blok rumah pangsa Grenfell Tower di West London semalam.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada kerosakan peti sejuk di tingkat tiga atau empat blok setinggi 24 tingkat di daerah North Kensington pada awal pagi itu, merentungkan hampir seluruh bangunan berkenaan hanya dalam masa setengah jam, kata saksi kejadian.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 12 orang dilaporkan maut dan 78 cedera dalam tragedi itu.

Zeferi Mohamad Zaidel, 38, bersama isteri dan dua anak mereka, yang tinggal di bangunan tambahan Grenfell Tower, dikejutkan daripada tidur oleh jiran, yang menggesa mereka supaya menyelamatkan diri.

Mereka terselamat, tetapi hingga kini masih menunggu berita tentang keadaan rumah mereka di tingkat bawah bangunan berkenaan. Penduduk belum dibenar kembali ke bangunan yang hampir musnah keseluruhannya itu.

Para jiran hanya termampu memandang dengan penuh cemas ketika api merebak dengan begitu pantas dan menerangi ruang-ruang udara dini hari, manakala terdapat laporan ada orang ternampak ibu bapa mencampakkan bayi melalui tingkap untuk disambut mereka yang menunggu di bawah.

Beberapa orang kelihatan melambai dan menyalakan lampu, sesetengahnya daripada telefon bimbit, untuk menarik perhatian, manakala sesetengahnya pula terus berada di unit kediaman masing-masing, mungkin kerana mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak pengurusan bangunan kepada penduduk.

Sebahagian besar kerja menyelamat dan mengejutkan penduduk dengan mengetuk pintu rumah mereka ketika berlaku kebakaran besar pada awal pagi itu dilakukan umat Islam di kawasan berkenaan, yang ketika itu sibuk menyediakan hidangan untuk bersahur bersempena puasa Ramadan.

Akhbar The Independent memetik Andre Busso, 33, sebagai berkata umat Islam memainkan peranan besar dalam membantu penduduk untuk keluar daripada bangunan terbakar itu.

Sehingga tengah hari semalam, masih ada yang mencari anggota keluarga atau sahabat handai masing-masing.

Grenfell Tower adalah antara beberapa bangunan kediaman tinggi di North Kensington. Bangunan ini boleh dikatakan mempunyai empat persamaan dari segi demografi – penduduk imigran, keluarga banyak anak, orang kelainan upaya dan individu yang hidup sebatang kara.

Bangunan yang dibina pada 1974 itu baru sahaja dibaik pulih secara besar-besaran, termasuk ditambah kepingan penyalut luaran, yang didakwa beberapa penyewa menjadi penyebab api merebak dengan begitu pantas ke arah atas dan sisi bangunan itu.

North Kensington mempunyai penduduk daripada pelbagai keturunan dan terletak di kawasan Portobello Road, daerah kurang mewah berbanding komuniti di Notting Hill Gate, dengan di kawasan kejiranannya terdapat banyak penduduk berasal dari Maghribi dan Somalia.

Hari ini, Masjid al Manar serta gereja di kawasan itu mengumumkan mereka membuka pintu kepada semua mangsa, tanpa mengira agama. Masjid itu juga menjadi pusat pengumpulan makanan dan pakaian yang disumbangkan para penderma.

Grenfell Tower kini kelihatan berdiri seperti sebuah tunggul besar dan hitam yang menjadi latar langit di West London. Asap masih berkepul daripada sisa kebakaran dan melalui bingkai tingkap yang hitam legam, api masih kelihatan menyala di dalam bilik yang serba musnah.

Para jurutera sedang mengkaji keadaan struktur bangunan yang telah dimamah haba luar biasa panasnya itu, ketika wujudnya kebimbangan ia mungkin runtuh menyembah bumi. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com