Polis Yan Tumpaskan Geng Ali Baba Di Guar Chempedak

Halim menunjukkan kesemua barangan yang dirampas dari kumpulan Geng Ali Baba.
YAN - Kegiatan licik tiga ahli kumpulan Geng Ali Baba yang aktif menjalankan kes samun dan rompak di daerah ini tumpas apabila pihak polis berjaya menangkap mereka di lokasi berasingan sekitar Guar Chempedak pada 25 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritenden Muhamad Halim Yatim berkata, ketua kumpulan ini merupakan lelaki warganegara Myamar yang berusia 17 tahun.

"Hasil tangkapan, polis telah berjaya menemui pelbagai jenis peralatan elektrik seperti mesin basuh, televisyen, dan juga peralatan rumah yang lain seperti jam, kain langsir, permaidani, mangkuk kaca dan pelbagai lagi," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini, kelmarin.

Halim berkata, nilai barang rampasan ini kira-kira RM1,000.

Katanya, mereka ini menyasarkan rumah kosong, dan homestay kosong yang lama ditinggalkan.

"Pada waktu malam mereka akan menjalankan aktiviti mencuri dan mengangkut kesemua barangan berkenaan dengan hanya menggunakan motosikal.

"Ahli Geng Ali Baba ini berusia 17 hingga 24 tahun menggunakan hasil jualan peralatan yang dicuri untuk membeli dadah jenis Syabu," katanya.

Katanya berikutan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan dua kes samun di Guar Chempedak. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 411 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com