Tan Cheng Hoe Imbas Bagaimana Kedah Bangkit Tewaskan Sarawak


PENGENDALI skuad hijau kuning, Tan Cheng Hoe mendakwa Kedah mempunyai dua kekuatan yang membuatkan pasukan itu mampu bangkit walaupun ketinggalan kepada pasukan lawan dalam dua perlawanan sebelum ini.

Beliau berkata, kekuatan yang dimaskudkan ialah ketahanan mental ketika ketinggalan 2-1 ketika bertemu Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun pemain berada dalam tekanan ketika ketinggalan namun ketahanan mental yang ada berjaya memastikan mereka bangkit untuk meneruskan perjuangan.

Cheng Hoe memberitahu, sebagai jurulatih beliau telah menggunakan waktu rehat untuk mengatur semula percaturan selain menyampaikan pesanan supaya pemain menguatkan mental serta elak daripada melakukan kesilapan.


"Saya kenal mereka dan tahu keupayaan pemain-pemain. Pemain kita mempunyai kekuatan mental yang baik kerana mereka telah melalui banyak perlawanan yang memberi tekanan.

"Selain itu, kekuatan kita adalah sebanyak 90 peratus pemain telah bersama-sama berjuang sejak tiga tahun lalu dan mereka tahu apa yang diperlukan selain telah serasi untuk bangkit.

"Cuma berlaku sedikit kesilapan individu yang tak dapat dielakkan telah memaksa kita ketinggalan dua kali pada separuh masa pertama. Namun keadaan ini dapat diatasi sekaligus memberikan tiga mata berharga.


"Saya akui Sarawak telah menyukarkan pemain Kedah dengan permainan pantas sehingga memaksa mereka melakukan kesilapan. Tetapi tindakan itu bukan sesuatu yang mampu menjatuhkan moral pemain kita," katanya.

Mengulas mengenai prestasi penjaga gol muda Kedah, Farhan Abu Bakar yang dikritik penyokong, beliau berkata, pemain berkenaan tidak wajar dipersalahkan kerana menjadi mangsa tekanan dari dalam dan luar padang.

"Farhan berjaya menyelamatkan kita beberapa kali namun kita hanya nampak dua gol yang dilepaskannya, inilah nasib seorang pemain bola sepak professional.

"Apa yang penting kita perlu bersyukur kerana mendapat tiga mata daripada perlawanan tersebut. Sekarang kami perlu memberi perhatian untuk bertemu Felda, persediaan sebaik mungkin telah dibuat sebelum kita turun sebagai pelawat," jelasnya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com