Pergetah Cadang Tubuh Skuad Khas Atasi Masalah Kecurian Getah Di Kedah


PERSATUAN Pengusaha dan Penoreh Negeri Kedah (Pergetah) bercadang menubuhkan skuad unit khas bagi mengatasi masalah kecurian getah skrap.

Pengerusinya, Mohd Taufik Yaacob berkata, skuad unit khas itu boleh dianggotai seramai lima hingga 10 orang bagi setiap kampung.

“Skuad unit khas ini akan melakukan rondaan di kawasan kebun getah. Kita akan bincang perkara ini dengan polis dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT),”katanya.

Menurutnya, penubuhan skuad itu adalah bersandarkan prinsip kesukarelawan dan bukannya bergaji.

“Bagi peringkat awal tidak ada satu bentuk dana untuk disalurkan kepada skuad tersebut, cuma ia dibentuk di atas kesedaran bersama dan sukarela.

“Bagaimanapun Pergetah akan menyediakan bantuan makanan dan minuman bagi setiap skuad, cara ini setidak-tidaknya membantu skuad unit khas untuk berkawal pada waktu malam,”katanya.

Mohd Taufik berkata, jadual kawalan hanya akan ditentukan menerusi mesyuarat akan datang.

“Waktu kecurian sering berlaku pada waktu Maghrib, malam dan tengah hari selepas penoreh balik dari menoreh. Paling ketara waktu kecurian setiap minggu adalah pada waktu solat Jumaat.

“Orang lelaki semuanya akan ke masjid untuk tunaikan solat Jumaat kerana ianya adalah satu kewajipan, kita akan atur dengan golongan wanita,"katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com