GiatMara Bantu Perbaiki 39 Rumah Usang Di Kuala Kedah

Abdullah Hasnan (dua, kiri) memasang plak projek di kediaman Bakar (tengah) yang tersenyum gembira menerima bantuan PBR sambil diperhatikan Jamal (dua, kanan).
ALOR SETAR - GiatMara melalui Program Bantuan Rumah (PBR) kini membantu membaiki dan menaiktarafkan 39 kediaman penduduk kurang berkemampuan di Parlimen Kuala Kedah.

Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin berkata, kira-kira 19 kediaman di kawasan itu telah diluluskan dan peruntukan sebanyak RM114,000 disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menurutnya, setakat ini, kerja membaiki dan menaik taraf 10 kediaman penduduk di beberapa kawasan, seperti Kampung Kubang Jawi, Kampung Hilir, Telok Bagan, Padang Raja sehinggalah Telok Chengai telah siap dilaksanakan.

“Manakala, sembilan kediaman lagi dijangka menyusul dan akan siap dibaiki dalam bulan ini,” katanya ketika ditemui dalam lawatan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GiatMara ke Program Bantuan Rumah (PBR) Parlimen Kuala Kedah, di Kampung Kubang Jawi, Alor Janggus, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Ketua Umno Kuala Kedah, Datuk Abdul Mutalib Harun dan Pengarah GiatMara Kedah, Syed Rijalluddin Syed Ibrahim.

Abdullah Hasnan berkata, GiatMara akan melakukan siasatan ke atas 20 kediaman lagi, sebelum membuat penilaian jumlah peruntukan diperlukan untuk membaiki ataupun menaiktarafkan rumah penduduk terlibat itu.

"GiatMara hanya mengambil tempoh kurang dari sebulan untuk menyiapkan kerja membaiki dan menaiktarafkan kediaman penduduk yang dicadangkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Setiap hari, JKKK akan membuat tinjauan di kawasan masing-masing demi mencari penduduk memerlukan pertolongan, sebelum mengusulkan nama penduduk berkaitan untuk mendapatkan bantuan bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, CEO GiatMara, Jamal Nasir Othman berkata, sebahagian kediaman yang dibaiki dan dinaiktarafkan melalui PBR Parlimen Kuala Kedah untuk fasa pertama dijangkakan siap dalam tempoh seminggu lagi.

"Selepas itu, pihak GiatMara akan memulakan fasa kedua kerja-kerja tersebut," katanya.

Penduduk, Bakar Mat, 69, berkata, bumbung rumah didiami bersama isterinya berlubang sehingga air masuk ke dalam rumah.

Katanya, dia berterima kasih kerana masalah dialami mereka sekeluarga selama ini selesai atas keprihatinan diberikan JKKK, Umno Bahagian Kuala Kedah dan GiatMara.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com