"Kenapa Mereka Pinggirkan Saya?" - Mangsa Ribut 2013 Di Pendang

Mohd Jalani dan isteri melihat dinding rumah mereka yang ditutup dengan atap. Gambar kecil: Jalani
PENDANG - Sepasang suami isteri merayu kepada pihak terbabit supaya membantu mereka membaiki dinding rumah yang musnah akibat kejadian ribut pada 2013 lalu di Kampung Kerkau, Pendang.

Penoreh getah, Mohd Jalani Jidin, 60, berkata, dia tidak mampu untuk membaiki dinding rumahnya ekoran pendapatan yang tidak menentu.

"Pendapatan saya sebagai penoreh getah tak menentu, tambahan pula sekarang ini musim hujan, saya tak boleh menoreh.

"Kalau musim kemarau, alhamdulillah ada juga hasil, cuma hasilnya perlu dibahagi dua kerana saya menoreh pokok orang," katanya.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, air pasti akan memasuki rumahnya.

"Saya terpaksa guna duit simpanan untuk beli atap dan buat dinding sementara. Nak beli simen dan bata saya tak mampu," katanya.

Mohd Jalani berkata, dia hairan kerana sewaktu kejadian ribut dahulu, tujuh buah rumah jiran rosak dan kesemua mereka sudah dibantu.

"Tetapi saya sehingga kini masih belum terima apa-apa bantuan. Kenapa mereka meminggirkan saya?

"Saya ada tanya pihak yang datang membaiki rumah jiran minggu lepas, mereka kata tak dapat maklumat sedangkan penghulu mukim sudah pun datang ke rumah untuk tangkap gambar dan sebagainya," katanya.

Katanya, jika dia berkemampuan untuk membaiki dinding rumah itu sendiri, dia tidak akan merayu meminta bantuan.

“Ini soal tidak mampu. Kalau mampu dah lama saya perbaiki dengan menggunakan duit sendiri.

“Kita pun bukannya tiada maruah nak merayu meminta pertolongan dan menunggu sehingga bertahun-tahun,” katanya.

Isterinya, Zaini Awang Putih, 53, pula tidak bekerja kerana kurang sihat.

Pasangan suami isteri ini mempunyai dua orang anak berusia 20 hingga 30 tahun di mana mereka masih perlu menanggung anak bongsu kerana belum bekerja.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com