Gesa Papan Iklan Solidariti Untuk Penjenayah Diturunkan


BUKIT MERTAJAM – UMNO Bahagian Bukit Mertajam menggesa agar tiga papan iklan dipercayai cuba menghasut rakyat berhimpun untuk bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diturunkan segera.

Setiausahanya Mohd Fauzi Sharif berkata satu laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang memasang papan iklan di Alma, Permatang Tinggi dan Bukit Teh di sini, sejak 3 hari lepas.

“Papan iklan #bebaskan Anwar-selamatkan Malaysia itu mengganggu keamanan penduduk dan apa yang kami pertikaikan ialah kenapa perlu adakan semua itu sedangkan kita semua tahu dia (Anwar) telah habis peluang untuk membuat rayuan.

“Kami juga bimbang tindakan pihak tidak bertanggungjawab (penganjur) untuk mengadakan ceramah dan himpunan solidariti pada 9 Jan ini, akan mengganggu-gugat keamanan negara,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah di sini, semalam.

Beliau berkata pihaknya juga kecewa dengan tindakan penganjur memasang papan iklan dan kenyataan di atasnya yang memberi gambaran tidak baik terhadap institusi kehakiman negara.

“Selain itu kami juga meminta pihak polis menyekat dan menghalang penganjur mengadakan himpunan solidariti berkenaan kerana bimbang ia akan menimbulkan kekecohan,” katanya.

Difahamkan ceramah dan himpunan solidariti itu yang akan diadakan di tapak expo Seberang Jaya di sini, akan dihadiri pemimpin tertinggi pembangkang bagi menggesa kerajaan membebaskan Anwar. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com