Biadap Pada Sultan: 8 NGO Johor Buat Laporan Polis Pada Syed Saddiq


JOHOR BAHRU - Lapan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas pendebat kebangsaan, Syed Saddiq Abdul Rahman (gambar) susulan surat terbuka terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, yang disifatkan biadap.

Pengerusi Bazar Johor Bahru yang juga merupakan Persatuan Peniaga Pasar Karat, Mohammad Salezan Mohd Salleh berkata, tindakan Syed Saddiq yang mempersoalkan pengharaman demonstrasi jalanan di negeri itu seolah-olah dia cuba menentang perintah Sultan Ibrahim.

"Dia cuba untuk mengajar Tuanku (Sultan Johor) tentang undang-undang negara dan menentang titah baginda yang melarang Bangsa Johor untuk tidak mengambil bahagian dalam mana-mana demonstrasi jalanan.

"Sebelum mempersoalkan titah tuanku, Syed Saddiq pertama sekali perlu belajar dan memahami konsep Bangsa Johor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Johor Baru, di sini, pada Sabtu.

Syed Saddiq sebelum ini melalui laman sosial Facebooknya mengeluarkan surat terbuka kepada Sultan Ibrahim, menyatakan pandangan beliau tentang demonstrasi jalanan selepas baginda melarang perhimpunan haram di negeri itu.

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com