Bajet 2017 Lulus: 11 Ahli Parlimen PAS Berkecuali, Kecuali Mahfuz


KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat lewat Isnin malam meluluskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 atau lebih dikenali sebagai usul Bajet 2017.

Bagaimanapun rang berkenaan berdepan dengan proses undian belah bahagi setelah dituntut oleh ahli-ahli parlimen pembangkang yang dilihat sebagai percubaan untuk menolak Bajet 2017 sebelum ia berjaya diluluskan

Namun, dalam keputusan undian tersebut, mereka sekali lagi mendapat malu besar apabila pihak kerajaan berjaya memperoleh 117 undi sokongan, manakala pembangkang pula sekadar hanya mendapat 70 undi penolakan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mempengerusikan persidangan tersebut turut mengumunkan bahawa lagi 11 ahli parlimen pembangkang yang hadir tidak mengundi usul itu atau berkecuali.

Secara kebetulan mereka semua merupakan barisan ahli-ahli Parlimen daripada PAS yang parti Islam tersebut diketahui memang bukan anggota Pakatan Harapan sebaliknya membentuk blok sendiri iaitu Gagasan Sejahtera.

Bagaimanapun, hanya Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang dikenal pasti sebagai jelas pro-Pakatan Harapan mengundi bersama-sama dengan ahli-ahli pembangkang lain.

Pihak pembangkang terdahulu menuntut agar proses undian dilakukan secara belah bahagi selepas Menteri Kewangan 11, Datuk Johari Abdul Ghani selesai menggulung perbahasan Bajet 2017 kira-kira pukul 10.10 malam.

Ini bukan perkara baharu kerana hampir setiap tahun mereka sengaja menuntut undian belah bahagi sebagai menolak Bajet tahunan dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan.

Pembangkang turut bertindak biadap apabila keluar dewan konon sebagai tanda protes ketika Bajet dibentang pada 21 Oktober lalu selepas membuat bising dan memegang plakad yang sudah dirancang awal bagi memalukan Najib.

Malangnya, kecuali Mahfuz, semua ahli Parlimen daripada PAS selain Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Shafie Apdal dan anggota bebas Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak boikot atau keluar dari dewan.

Ramai penganalisis ekonomi melihat pembangkang berbuat demikian kerana tidak jangka Bajet kali ini lebih baik dan komprehensif berbanding bajet dikemukakan mereka sendiri yang banyak ‘dikitar semula’ daripada tahun lalu.

Ia sekali gus menepis tohmahan jahat pembangkang yang selama ini ‘mencanangkan’ ke seluruh dunia konon Malaysa sudah muflis dan pihak kerajaan tidak lagi mempunyai cukup hasil untuk perbelanjaan tahun depan.

Sekiranya Bajet 2017 gagal diluluskan, secara teknikal Barisan Nasional dianggap tumbang atau hilang kepercayaan malah semua gaji penjawat awam termasuk ahli-ahli Parlimen sendiri tidak dapat dimasukkan hujung bulan ini!

Bajet 2017 yang dibentangkan Pengerusi Barisan Nasional tersebut pada 21 Oktober lalu dibahaskan selama enam hari bermula 24 Oktober lalu oleh  ramai ahli Parlimen sama ada Barisan Nasional dan parti pembangkang.

Sementara itu, tiga hari diperuntukkan kepada 25 kementerian bagi penggulungan yang berakhir Isnin. Semasa perbahasan kali ini, pembangkang berterusan ‘serang’ firma pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad.

Mereka turut mengungkit tindakan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) walaupun sudah dilarang oleh Speaker dewan memandangkan ia bersifat ‘subjudis’ kerana masih dalam pertimbangan pihak mahkamah.

Najib ketika membentangkan Bajet dengan tema ‘Merancakkan Pertumbuhan, Memastikan Pengurusan Fiskal Berhemat, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat’ menjadi perhatian apabila menyenaraikan beberapa langkah.

Ia dalam usaha menangani cabaran ekonomi berikutan ketidaktentuan di peringkat global. Bajet dibentang dengan peruntukan sejumlah RM260.8 bilion, merupakan peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.

Daripada jumlah tersebut, RM214.8 bilion ditetapkan sebagai Perbelanjaan Mengurus dan RM46 bilion lagi untuk Perbelanjaan Pembangunan. Ini tidak termasuk simpanan luar jangka diperuntukkan sebanyak RM2 bilion.

Di bawah Peruntukan Mengurus, sebanyak RM77.4 bilion adalah untuk pembayaran Emolumen, serta RM32 bilion untuk Perkhidmatan dan Bekalan, manakala, RM103.9 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.

Pembelian Aset pula, diperuntukkan RM691 juta, dan RM816.6 juta lagi, untuk perbelanjaan lain. Sementara itu, bagi Peruntukan Pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM25.9 bilion.

Ini diikuti oleh sektor sosial sebanyak RM12.2 bilion. Sektor keselamatan pula dalam Bajet 2017 mendapat peruntukan berjumlah RM5.3 bilion manakala sektor pentadbiran am adalah lebih RM2.5 bilion.

Diunjurkan berdasarkan prestasi semasa, hasil 2017 dijangka berkembang sekitar tiga peratus iaitu kepada RM219.7 bilion dan sasaran kerajaan untuk defisit fiskal ialah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2017. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com