2 Anggota Rela Cedera Dilanggar Pencuri Lembu Di Bandar Baharu

Keadaan Honda Accord dan motosikal yang diseret sejauh 20 meter sebelum terbabas ke dalam parit. Gambar kecil: Mohd Yusof dan Mat Radu menerima rawatan awal daripada rakan.
BANDAR BAHARU - Dua anggota Rela, Mohamad Yusof Hamid, 53, dan Mat Radu Othman@Abu Seman, 51, cedera akibat dilanggar serta diseret kereta dinaiki pencuri lembu ketika melakukan rondaan di Jalan Batu 18, kelmarin.

Mat Radu berkata, dia sebelum itu menerima aduan daripada orang kampung bahawa ada kes kecurian lembu di kawasan Batu Hampar, kira-kira jam 10.30 pagi.

“Bertindak atas laporan, saya bersama enam lagi anggota Rela termasuk Mohamad Yusof dan anggota polis ke lokasi kejadian dengan menaiki motosikal.

"Bila sampai di ladang sawit, saya nampak sebuah kereta Honda Stream diletakkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan. Kami pun periksa kereta tersebut dan mendapati ada dua lembu di bahagian belakang,” katanya.

Menurut Mat Radu, selepas itu secara tiba-tiba sebuah kereta Honda Accord melalui jalan sama dalam keadaan membahayakan.

“Anggota polis yang mengesyaki sesuatu, minta kami periksa. Setelah mengejar lebih kurang tiga kilometer, tiba-tiba kereta itu berhenti di titi rosak dekat Jalan Batu 18. Saya yang membonceng bersama Mohd Yusof kemudian memberhentikan motosikal,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mat Radu, suspek membuat pusingan dan berpatah balik untuk ke Batu Hampar, terus melanggar serta mengheret mereka berdua yang tidak sempat berbuat apa-apa.

“Saya yang berada di belakang fikir rakan di depan berjaya menghentikan kenderaan itu, tapi kereta itu patah balik dan terus langgar saya serta rakan yang sedang meletakkan motosikal di tengah jalan.

“Rakan saya tercampak atas jalan, sementara saya dan motosikal yang diletakkan di tengah jalan diseret kira-kira 20 meter, sebelum kereta itu terbabas ke dalam parit,” katanya.

Tambah Mat Radu, kira-kira lima suspek melarikan diri melalui tingkap kereta ke ladang sawit berkenaan.

“Saya berada di bawah kereta dekat dengan pemandu dan nampak mereka lompat melalui tingkap. Badan saya juga dipijak mereka.

"Agak trauma juga, tapi lepas sembuh nanti saya akan teruskan membuat rondaan dan terlibat dalam aktiviti menjaga keselamatan masyarakat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com