Semenanjung Gaza Di Ambang Peperangan – UNSC


NEW YORK (PBB) – Wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Asia Barat memberi amaran bahawa insiden pertempuran terbaharu membabitkan tentera Israel dan puak Hamas diramal membawa Semenanjung Gaza ke kancah peperangan.

Nickolay Mladenov mengeluarkan amaran itu ketika Majlis Keselamatan PBB (UNSC) masih menemui jalan buntu mengenai tindakan yang perlu diambil bagi menangani serangan di Semenanjung Gaza dan Israel.

“Serangan terbaharu ini memberi amaran kepada semua pihak bahawa kita berdepan dengan ancaman peperangan setiap hari.

“Tiada sesiapa di Semenanjung Gaza yang mampu berdepan dengan satu lagi peperangan,” kata Mladenov menerusi sidang video dari Baitulmaqdis.

UNSC mengadakan mesyuarat tergempar semalam, atas permintaan Amerika Syarikat (AS) bagi mendesak badan dunia itu mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Hamas melancarkan serangan roket terhadap Israel.

Bagaimanapun, anggota bukan tetap UNSC, Kuwait yang mewakili negara Arab, menolak draf kenyataan AS itu dan menegaskan bahawa mereka sudah menyerahkan deraf resolusi bagi menangani krisis berkenaan.

Malah, mengikut maklumat yang diperoleh AFP, Kuwait dijangka mendesak UNSC supaya meluluskan draf resolusi yang dibentangkannya supaya langkah sewajarnya diambil bagi melindungi keselamatan penduduk awam Palestin.

“AS yang mempunyai kuasa veto dijangka membantah keputusan berkenaan,” kata Duta Israel, Danny Danon kepada wartawan.

Duta AS, Nikki Haley, pula berkata penduduk Semenanjung Gaza tidak memerlukan perlindungan dari pihak luar, sebaliknya mereka perlu perlindungan daripada serangan Hamas. – AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com