Lupa Tutup Api Dapur Faktor Kebakaran Meningkat- JBPM Kedah


KUALA NERANG - Laporan kebakaran sepanjang Ramadan di negeri ini menunjukkan ia berpunca akibat sikap dan kecuaian manusia yang mengambil mudah aspek keselamatan di rumah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata, setakat ini statistik kebakaran membabitkan rumah kediaman di negeri ini dari 17 Mei hingga 1 Jun adalah sebanyak 10 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, empat kes di Sungai Petani, tiga kes di Alor Setar, dua kes di Kulim dan dua kes di Kulim Hi Tech.

"Terlupa menutup api dapur ketika menyediakan kuih raya atau berbuka puasa dan bersahur, serta pendawaian elektrik yang tidak diperiksa, antara faktor yang boleh meningkatkan kes kebakaran, terutamanya pada Ramadan ini.

"Biasanya mereka yang sibuk di dapur kadangkala terlupa untuk memastikan aspek keselamatan kebakaran yang betul," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama anggota dan pegawai JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang di sini, semalam.

Terdahulu, Abdul Razak turut melakukan pemeriksaan Tahunan Kit Inspection terhadap 40 anggota BBP Kuala Nerang, termasuk 14 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) untuk memastikan peralatan mereka dalam keadaan baik.

Abdul Razak berkata, apa yang merisaukan pihaknya menjelang Aidilfitri nanti, ramai yang akan pulang ke kampung meninggalkan premis kediaman mereka tanpa memeriksa keadaan keselamatan rumah terlebih dahulu.

Katanya, orang ramai sepatutnya memastikan terlebih dahulu peralatan elektrik di rumah mereka, seperti mencabut plug dan memastikan pendawaian elektrik sama ada sudah diubah suai dalam keadaan selamat untuk mengelak kebakaran berlaku.

"Disebabkan itulah, kami di JBPM Kedah mengadakan program Ihya Ramadan bersama anggota dan pegawai di balai setiap hari bagi memastikan mereka bersiap sedia pada waktu malam (sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri).

"Biasanya pada bulan puasa ini (orang ramai) agak aktif sikit pada waktu malam, misalnya membakar kuih raya dan memasak juadah untuk bersahur serta berbuka puasa yang banyak menggunakan dapur memasak serta peralatan elektrik.

"Oleh yang demikian, anggota kami sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kebakaran pada waktu malam atau awal pagi supaya harta benda dan nyawa dapat diselamatkan dengan cepat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, semua 128 anggota PBB di JBPM Kedah akan bertugas membantu anggota tetap dalam menjalankan tugas operasi penyelamatan di setiap balai.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sedang dalam proses pengambilan anggota PBB bagi mengisi tempat di BBP Pokok Sena yang dalam proses pembinaan dan BBP Pendang yang baru beroperasi bulan lalu.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com