‘Hati-Hati Cari Buluh Lemang’


KUALA NERANG - Menjelang Aidilfitri, penduduk di sekitar Padang Terap mengambil kesempatan itu mencari dan membekalkan buluh lemang kepada peniaga.

Menurut Abd Latif Mat Jelas,63, dari Kampung Perik, dia dan kawannya, Zainon Abd Ghani,39, mengambil kesempatan itu dengan mencari buluh lemang di hutan sekitar daerah itu selepas mendapat permintaan dari peniaga lemang.

“Pada dua minggu sebelum perayaan permintaannya agak berkurangan hanya sekitar 100 hingga 200 batang buluh. Bagaimanapun apabila musim perayaan semakin dekat permintaan buluh lemang mampu mencecah hingga 2,000 hingga 3,000 batang.

“Pada masa itu kami terpaksa bermalam dalam hutan bagi mencari buluh lemang kerana terpaksa meredah hutan dan  tasik  bagi mendapat bekalan buluh. Walaupun agak membahayakan tetapi kami tetap gembira kerana dapat mencari pendapatan untuk keluarga,” katanya.

Menurut Abd Latif, jika di hutan bekalan buluh semakin berkurangan, mereka berdua akan memasuki pulau-pulau di tasik yang masih terdapat buluh lemang itu.

“Ramai yang tidak sanggup mencari bekalan buluh lemang ini kerana bimbang dengan gatal dari miang buluh itu sendiri.

“Masalah itu menyebabkan kami terpaksa menjual sebatang buluh yang sudah dibasuh dengan harga RM1 sebatang dan 70 sen jika tidak membasuhnya. Bagaimanapun kebanyakan peniaga akan meminta buluh yang sudah siap dibasuh supaya memudahkan kerja mereka,” katanya.

Zainon pula berkata, mencari buluh lemang itu juga ada risikonya kerana keselamatan mereka boleh terancam dengan binatang berbisa.

Katanya, dua tahun lalu semasa memotong buluh dia ternampak sesuatu bergerak di bawah timbunan daun-daun buluh.

“Tiba-tiba kelihatan seekor tedung selar besar melingkari di dalam rumpun pokok buluh itu. Kami cuba menghalaunya dan akhirnya ular itu turun menelusuri masuk  ke tasik.

“Pengalaman itu memberi pengajaran agar kami sentiasa berhati-hati sebelum memotong buluh itu,” katanya ketika ditemui di Tasik Pedu kelmarin.

Sumber:Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com