Yoo Punya Aura Tersendiri Tawan Hati Penduduk Alor Setar


ALOR SETAR - Memiliki aura tersendiri dan dikenali dengan sikap mudah mesra, prihatin serta kuat bekerja dalam kalangan masyarakat setempat sejak lebih tiga tahun lepas menjadikan bekas Senator Datuk Yoo Wei How, 45, seorang yang istimewa dan dekat di hati rakyat tempatan.

Menyifatkan pemilihan Setiausaha Organisasi MCA itu menjadi calon baharu Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Alor Setar sebagai tindakan tepat, Yaakob Adnan, 66, seorang pesara perkhidmatan awam berkata ada harapan buat kawasan itu mampu ditawan kembali pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung 9 Mei ini.

"Cukuplah sepenggal bersama PKR yang sepi dan tidak berfungsi sebagai seorang wakil rakyat di sini. Mana mungkin pemimpin yang menyisihkan rakyat nak memajukan Alor Setar, jauh sekali ambil tahu jerih perih rakyat," katanya kepada Bernama di sini.

Pada PRU12 calon BN, Chor Chee Heung menewaskan Gooi Hsiao Leung (PKR) dengan kelebihan tipis 184 undi namun BN kemudiannya terpaksa akur apabila pada PRU13 Gooi menang terhadap Chor dengan majoriti 1,873 undi.

Rata-rata rakyat yang ditemui ketika tinjauan Bernama turut mendakwa selepas PKR memenangi kerusi  berkenaan, suasana berubah menjadi sunyi daripada perhatian wakil rakyat mereka selain pembangunan Alor  Setar menjadi lembab tanpa sebarang perubahan seperti yang dijanjikan.

Nurhayati Hassan, 45, seorang peniaga kedai makan berkata beliau berharap agar calon taruhan PKR Chan Ming Kai bagi Parlimen Alor Setar tidak berjaya mengatasi calon BN pada PRU14 kerana sudah serik.

"Wakil rakyat pembangkang sebelum ini sukar ditemui, ada rakyat yang tidak mengenali siapakah pemimpin mereka yang sepatutnya menjadi tempat 'bergantung\' bagi menyuarakan sebarang permasalahan. Calon lama mereka (pembangkang) pun hilang entah ke mana inikan pula calon baharu yang bukan anak tempatan," keluhnya.

Mengenai calon BN pada PRU14 ini, Nurhayati menyifatkan Yoo seorang pemimpin anak tempatan yang dikenali dengan sikap merendah diri, sedia menghulurkan bantuan selain mudah mesra kepada semua lapisan rakyat tidak mengira agama atau kaum.

"Banjir atau ribut Menteri Besar Tok Bashah (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) beserta wakil  rakyat BN pasti datang. Contoh paling dekat Datuk Yoo sendiri memang selalu turun padang mengambil tahu keadaan rakyat serta memberi bantuan tidak kira semasa bencana mahupun tidak," katanya.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Setar, Abdul Malek Saad berkata Yoo seorang yang amat mudah didekati kerana perwatakan beliau yang boleh dibawa 'berborak' mengenai sebarang isu setempat.

Katanya, sesiapa yang baru berjumpa beliau pasti akan rasa seperti sudah lama mengenali figura tersebut, pemimpin begini yang rakyat mahukan.

"Dia (Yoo) kalau berjumpa orang ramai memang boleh 'masuk' senang bersembang dan bercerita mengenai sebarang kesulitan, keramahan dan kemesraan beliau membuatkan keadaan tidak kekok, macam sudah lama kenal," katanya.

Yoo yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan selain pernah menjadi Anggota Dewan Negara itu tampil dengan slogan 'Yoocare' dalam kempennya bertemu rakyat mahupun di media sosial.

Anak jati Kedah kelahiran Simpang Kuala itu ternyata mempunyai misi dan visi yang luas dalam usaha memastikan kampung halamannya terus maju kerana bagi Yoo, dalam pada Kedah umumnya dan Alor Setar khususnya sedang mengejar kemajuan, masih ada yang memerlukan pembelaan seorang wakil rakyat.

"Antara yang akan saya fokuskan khusus untuk Alor Setar ialah memastikan nasib golongan daif mampu dipertingkatkan, merangsang lebih banyak komuniti keusahawanan diwujudkan termasuk latihan komprehensif terutamanya golongan muda.

"Selain itu saya akan merealisasikan pembangunan pelancongan kerana Alor Setar mempunyai daya tarikan tersendiri dari segi kebudayaannya, kaya dari segi sejarah untuk tarikan pelancongan, namun masih kurang terperinci merancang sektor ini," katanya menerusi video di laman Facebooknya ketika bercerita mengenai aspirasi beliau untuk rakyat.

Yoo berkata sektor pelancongan negeri yang mampu menarik lebih ramai pelancong asing bakal merubah standard kehidupan golongan berpendapatan sederhana menjadi lebih baik menerusi pertumbuhan pesat sektor perniagaan, perhotelan dan industri tempatan yang lain.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com