Waspada Isu Pelaburan Dari China Oleh Pembangkang


MELAKA — Rakyat terutamanya masyarakat Cina di negara ini perlu berwaspada dengan isu pelaburan dari negara China yang sering dimainkan pembangkang, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) berusaha keras memajukan negara antaranya dengan menarik ramai pelabur luar dari China, namun beliau kesal usaha itu dijadikan modal untuk serangan politik oleh pembangkang.

“Melaka mempunyai kerjasama yang rapat dengan banyak negara termasuk China yang membuat pelaburan di negara ini, tetapi kita merasa kesal dengan pihak Pakatan Harapan asyik mempermainkan isu pelaburan negara China di Malaysia.

“Mereka suka war-warkan dan besar-besarkan kononnya kita menjual kedaulatan negara ini kepada China dan ini semua adalah pembohongan yang terbesar oleh pihak pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas majlis ceramah perdana MCA Melaka di Duyong, malam semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan 10 calon BN-MCA yang bertanding di kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Liow yang mempertahankan kerusi Parlimen Bentong pada PRU14, berkata beliau kesal dengan pakatan harapan yang kerap menggunakan taktik kotor dengan menggunakan isu-isu yang tidak benar dan mengkritik dengan memutar belitkan isu-isu dalam negara.

“Banyak kali dah kita sebut dengan jelas bahawa agenda transformasi negara telah berjaya sehinggakan banyak negara luar yakin dengan Malaysia, namun hanya pemimpin Pakatan Harapan yang mengkritik dan cuba menghasut rakyat untuk membenci kerajaan.

“Jelas perkara-perkara ini adalah sekadar hasutan agar mereka dapat meraih undi pada PRU ini,” katanya.

Liow berkata sehubungan itu beliau menasihatkan demi nasib masa depan keluarga dan anak bangsa, rakyat di negara ini tidak mudah mempercayai segala ucapan Pakatan Harapan yang kerap mengapi-apikan dan membakar hati rakyat.

“Janganlah dengar tohmahan pada Pakatan Harapan kerana mereka sememangnya penghasut, hipokrit dan sangat suka menggunakan pendekatan negatif untuk pecah belahkan rakyat,” katanya.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com