Warga LADA Diingatkan Terus Setia Kepada Kerajaan Memerintah


LANGKAWI - Warga Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) diingatkan untuk meneruskan kesetiaan mereka kepada kerajaan memerintah bagi memastikan visi dan matlamat pembangunan yang dilaksanakan lembaga berkenaan dapat dicapai.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Azizan Noordin berkata institusi kepimpinan negara yang memerintah, dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya yang telus dan sahih.

"Sebagai warga perkhidmatan awam amnya dan LADA khususnya, tuan-tuan dan puan-puan perlu menerapkan prinsip kesetiaan kepada kerajaan yang memerintah," katanya semasa berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LADA di sini, malam Isnin.

Beliau berkata kesetiaan itu merupakan salah satu aspek penting dalam merealisasikan hasrat menjadi negara bangsa yang dihormati dan rakyat berminda cemerlang.

"Malaysia memerlukan perkhidmatan awam yang dinamik, efisien, berwibawa serta mampu melihat sesuatu isu secara retrospektif dan holistik," katanya.

Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan selepas mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, sekali gus menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama 61 tahun.

Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri buat kali kedua pada 10 Mei lepas.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, 28 pegawai dan kakitangan LADA menerima anugerah perkhidmatan cemerlang.- BERNAMA
   

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com