Wanita Mampu Menerajui Syarikat Besar


KUALA LUMPUR – Dasar dan agenda nasional yang menekankan soal pemerkasaan wanita telah memberi impak positif terhadap golongan itu apabila kini semakin ramai antara mereka sudah ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan golongan lelaki.

Jika dahulu peranan memimpin selalunya dikaitkan dengan lelaki, namun ramai wanita di negara ini membuktikan mereka mampu menggalas tanggungjawab itu dalam pelbagai bidang dan sektor pekerjaan termasuk menerajui syarikat-syarikat terkemuka.

Seorang daripada mereka ialah Masnizam Hisham yang dilantik sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu bagi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) pada Januari lalu selepas 12 tahun berkhidmat dengan syarikat itu.

Walaupun mengakui tidak pernah bermimpi untuk dilantik menerajui syarikat utama penyedia perkhidmatan pengangkutan awam milik kerajaan itu, Masnizam, 46, melahirkan rasa syukur kerana negara ini memberi ruang dan peluang yang luas bagi golongan wanita sepertinya untuk mendaki hierarki kerjaya.

“Kalau dahulu kita melihat wanita di zaman ibu dan nenek kita tidak berpeluang melengkapkan diri dengan ilmu dan dengan itu wanita dianggap tidak berkemampuan untuk berkerjaya atau memegang jawatan penting,” katanya kepada Bernama.

Namun kini wanita mempunyai pendidikan yang tinggi, pengalaman yang cukup untuk menjadi pemimpin dan berkerjaya tinggi, ujarnya.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata pandangan stereotaip sesetengah masyarakat yang menganggap wanita tidak mampu memimpin atau membuat keputusan penting perlu diubah kerana kaum hawa sebenarnya mampu memainkan peranan itu sekiranya diberi peluang dan kemudahan sewajarnya.

Sebelum dilantik ke jawatan baharu itu Januari lalu, Masnizam adalah CEO Prasarana Integrated Management & Engineering Services Sdn Bhd (PRIME), anak syarikat milik penuh Prasarana yang mengendalikan pengoperasian tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro-Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi.

Prasarana yang kini memiliki kira-kira 10,000 kakitangan mengendalikan pengoperasian LRT, Monorail, MRT, Bus Rapid, Feri Pulau Pinang serta Rapid Transit System (RTS) yang membabitkan kerajaan Malaysia dan Singapura.

Bagi Profesor Dr Roselina Ahmad Saufi pula, dasar kerajaan yang mahu meningkatkan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan memegang jawatan penting seperti CEO adalah begitu spesifik dan begitu khusus yang mana tidak ada negara lain selain Malaysia yang benar-benar memberi penekanan seperti itu.

Pensyarah di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia itu bagaimanapun berkata pelaksanaan dasar-dasar berkaitan perlu dipantau dan satu garis panduan yang jelas harus diwujudkan bagi memastikan organisasi dalam semua sektor memainkan peranan mereka.

Menurut beliau, seharusnya dasar-dasar murni yang dicetuskan itu juga dilaksanakan dengan menjurus kepada kekuatan wanita dalam segmen-segmen tertentu yang diminati atau dimonopoli golongan berkenaan seperti keusahawanan dalam industri kecil dan mikro.

Dalam pada itu, beliau menegaskan walaupun negara ini mempunyai dasar yang cukup baik untuk wanita namun objektifnya mungkin sukar dicapai jika golongan itu sendiri tidak memanfaatkannya dan tidak mengambil sikap positif untuk mengubah serta melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran.

​​​​​​​”Sebagai wanita, saya rasa kita ada kerajaan yang bersungguh-sungguh beri perhatian kepada wanita, kumpulan ibu tunggal misalnya melalui pelbagai inisiatif, skim keusahawanan untuk maju dalam kehidupan. Namun mereka tidak mungkin berjaya jika tidak diberi bimbingan,” katanya.

Dalam manifesto BN bagi Pilihan Raya Umum ke-14 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, 74 daripada 364 inisiatif dalam dokumen itu adalah mengenai dan berkaitan dengan wanita, termasuk 25 pengisian khusus untuk kaum hawa.

Dalam akujanji tersebut, BN antara lain komited menubuhkan pusat transformasi usahawan wanita (model PASARNITA) yang akan melebarkan jaringan perniagaan, menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Dewan Negara disandang wanita dan memperluas penglibatan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan.

BN juga berjanji untuk menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita yang akan dipengerusikan perdana menteri khusus untuk agenda ekonomi wanita di negara ini. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com