Walaupun Rosmah Dikecam, Permata Akan Diteruskan oleh Kerajaan PH


Program Permata Negara (Permata) yang  diasaskan oleh bekas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor  lebih 10 tahun lalu akan diteruskan walaupun dikecam oleh berbagai pihak terutama Pakatan Harapan.

Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan, Program Permata yang dilihat sebagai sebuah program yang baik dalam meningkatkan perkembangan kanak-kanak, akan diteruskan oleh kerajaan.

Wan Azizah berkata, program berkenaan bagaimanapun perlu 'diaudit' terlebih dahulu dalam segenap aspek termasuk melibatkan peruntukan, keberkesanan kos dan hasil program.

“Permata merupakan salah satu program yang saya bawa kepada perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kita akan audit kerana ia program yang baik dan dekat dengan kesejahteraan kanak-kanak.

“Ini kita teruskan untuk kanak-kanak tingkatkan kemahiran mereka kerana matlamatnya adalah suci murni. Kalau apa yang baik, kita teruskan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Perdana Putra, hari ini

 Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga yang dipetik daripada Utusan berkata, beliau dan Dr. Mahathir berpandangan bahawa Permata lebih relevan untuk berada di bawah kementerian itu memandangkan ia melibatkan usaha-usaha meningkatkan perkembangan kanak-kanak.

Sebelum ini Rosmah yang juga Penaung Permata menjelaskan program itu yang dipekenalkan sejak 10 tahun lalu bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi pembangunan negara.

Rosmah  menegaskan segala usaha yang dilakukannya itu bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi memberi sumbangan kepada negara.

Isteri Perdana Menteri berkata, dalam tempoh 10 tahun program itu diperkenalkan, isu Permata disensasikan sesetengah pihak, khususnya pembangkang, yang melemparkan pelbagai tuduhan, fitnah serta tohmahan.

Rosmah berkata, beliau dituduh mendesak kerajaan menambah peruntukan, malah turut dituduh kononnya menyalahgunakan wang Permata untuk kepentingan sendiri.

"Ada juga desakan untuk saya meletakkan jawatan tetapi tak apalah, apa orang nak kata walau pedih di hati saya biarkan sahaja bagaikan angin yang lalu.

"Saya berpegang dengan prinsip setiap kanak-kanak adalah aset dan permata negara. Mereka berhak mendapat peluang sama untuk membesar dengan ceria serta menjadi sebahagian modal insan negara.

"Saya akan terus gagahkan diri meneruskan perjuangan murni ini dan janganlah kita mudah termakan dengan berita palsu yang sengaja ingin mempolitikkannya," katanya  pada Majlis Perasmian Pusat Anak Permata Negara Langkawi di Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada 18 Februari lalu.

Sejak diwujudkan seramai 500,000 kanak-kanak mengikuti program itu dengan 300 kanak-kanak dikenal pasti mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com