Walaupun Kalah Mahadzir Terus Berkhidmat Kepada Penduduk Jeneri Di Sik


SIK - Walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat setelah gagal mempertahankan kerusi DUN Jeneri,  Mahadzir Abdul Hamid terus berkhidmat untuk masyarakat di kawasannya.

Ketika orang lain masih bergembira dan bersedih dengan kemenangan serta kekalahan pada PRU 14 Rabu lepas, Mahadzir bergegas keluar rumah di malam hari walaupun dalam hujan yang lebat.

Beliau bersama lapan anggota Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) berkejar ke tempat kejadian untuk memotong pokok tumbang melintang jalan bagi membuka laluan kepada lalulintas.

Dua batang pokok getah besar tumbang ekoran hujan lebat yang hampir menyebabkan berlaku kemalangan. 

"Selagi ada kudrat, walaupun tidak disanjung, kami akan tetap membantu rakyat selagi termampu.. inilah saham yang kami ada setelah kami hilang segala-galanya.. insya-Allah," kata Mahadzir yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO negeri dan Sik ketika dihubungi.

Mahadzir dipilih  ADUN selama sepenggal pada PRU13, namun gagal mempertahankan kerusi Jeneri pada Rabu lepas walaupun beliau banyak menyumbang bakti kepada penduduk kawasan itu.   

Beliau yang mengetuai BS1M akan terus aktif dan menghidupkan briged kecemasan itu kerana badan NGO itu sudah menjadi keperluaan bagi penduduk terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan  pendalaman.

BS1M diwujudkan pada tahun 2012 sebagai badan sukarelawan yang aktif dalam usaha membantu dalam pelbagai aspek khususnya bencana, nahas jalanraya dan membawa pesakit ke hospital di sekitar daerah Sik.

Ahli BS1M mencecah 600 orang termasuk 50 ahli teras yang sedia berkhidmat membantu masyarakat tanpa mengira masa.

Briged sukarelawan itu kini memiliki ambulans, 4WD, kenderaan pengangkut dan van yang digunakan khusus untuk tujuan sukarelawan.

Skuad itu juga pernah membantu mangsa banjir terburuk di Kuala Krai, Kelantan pada 2014. - Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com