Video, Risalah Rekaan DAP Disebar Untuk Raih Undi


KUALA LUMPUR - DAP dilihat semakin terdesak dalam kempen pilihan raya sehingga didakwa sanggup mereka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mendedahkan perkara itu, Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP, Amran Ahmad, berkata semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei ini.

Beliau mendakwa, antara fitnah sedang dan akan terus disebarkan parti pembangkang itu adalah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), FELDA dan Tabung Haji, selain menyentuh perkauman, menghina agensi kerajaan, ekonomi, tol dan projek kerajaan lain.

"Dalam waktu berkempen ini, saya dapat tahu DAP menggiatkan lagi penyebaran bahan propaganda jahat dan berbentuk fitnah ini bagi menjatuhkan kepimpinan kerajaan sedia ada.

"Saya bimbang jika tindakan DAP ini tidak didedahkan, ia akan mengganggu ketenteraman awam, menjejaskan perpaduan, merosakkan minda rakyat, sekali gus menggugat keselamatan negara," katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amran yang juga bekas pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, beliau tampil membuat laporan hari ini kerana tidak mahu lagi bersekongkol menabur fitnah di bawah unit publisiti DAP.

Beliau berkata, antara tugas utamanya di bawah unit diketuai Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua Kiam Wee itu adalah menterjemahkan bahan publisiti, membantu membuat, menyampai dan menyebarkan propaganda untuk menjatuhkan kerajaan hari ini.

"Namun, selepas sekian lama, saya melihat unit diketuai Tony Pua ini sudah terpesong daripada tujuan asal dengan menyebarkan dakyah yang direka-reka untuk menjatuhkan pemimpin kerajaan khususnya Perdana Menteri.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dibayar untuk tampil hari ini, sebaliknya pendedahan dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak. Saya juga bersedia menerima apa saja tindakan termasuk dipecat daripada DAP," katanya.

Beliau yang juga bekas wartawan sebelum menyertai DAP pada 2009 berkata, sangat memahami etika kewartawanan yang menjadi keutamaan dalam setiap laporan diberikan.

"Sebab itu, saya menerima pelawaan DAP menyertai mereka ketika itu kerana ingin memperjuangkan kebenaran terhadap semua isu rakyat khususnya kepada orang Melayu, namun parti itu hari ini melakukan fitnah," katanya yang juga ahli seumur hidup DAP.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com