Umrah, Disneyland Untuk Penyimpan SSPN1M


KUALA LUMPUR - Pakej mengerjakan umrah dan percutian ke Disneyland, Jepun antara hadiah menarik disediakan menerusi Cabutan WOW! Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) di bawah produk SSPN1M-i Plus.

Menerusi Cabutan WOW! SSPN1M-i Plus yang dilancarkan pada 8 Mac lalu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan hadiah menarik bernilai RM2 juta.

Dengan hanya menyimpan sekurang-kurangnya RM50 dalam SSPN1M-i Plus, ibu bapa berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, berkata Cabutan WOW! dibuat setiap bulan, sukuan dan tahunan.

"Untuk menyertai Cabutan WOW!, pendeposit perlu membuka akaun baharu atau membuat penambahan deposit selain memastikan akaun aktif sehingga tamat tempoh promosi pada 31 Disember 2018.

"Pendeposit SSPN1M-i Plus baharu atau sedia ada layak untuk cabutan dengan syarat akaun kekal aktif tanpa tunggakan sehingga tarikh cabutan yang ditetapkan manakala bilangan cabutan ditentukan daripada baki deposit SSPN1M-i Plus pada tarikh tamat tempoh promosi.

"Apa yang menarik, kali ini kami menyediakan hadiah pakej pelancongan untuk satu keluarga membabitkan suami, isteri dan dua orang anak. Pakej ini sangat istimewa kerana dapat mengeratkan ukhuwah," katanya.

Abdul Ghaffar berkata, ada empat hadiah utama disediakan iaitu pakej pelancongan keluarga ke Disneyland Jepun atau umrah.

"Bagi cabutan tahunan, wang tunai RM100,000 disediakan bagi hadiah utama bersama RM50,000 kepada dua pemenang, RM10,000 kepada tiga pemenang tempat ketiga dan 4,000 pemenang hadiah sagu hati bakal menerima RM200.

"Pihak kami turut menyediakan pakej pelancongan keluarga dalam negara bernilai RM4,000 dan duit poket RM1,500 serta 30 hadiah sagu hati Tiket Percutian Keluarga ke taman tema dalam negara bernilai RM1,500 dan duit poket RM500," katanya.

Selain itu, pada pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan kepada PTPTN untuk pemberian insentif geran sepadan sebanyak RM500 atau GS500 yang diberikan secara percuma apabila menyimpan di dalam akaun SSPN1M.

Untuk pelaksanaan GS500, PTPTN memperuntukkan RM250 juta kepada 500,000 pendeposit bagi pembukaan akaun SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus untuk anak berusia daripada tujuh hingga 12 tahun.

Bermula 1 Januari hingga 31 Disember ini, ibu bapa yang membuat simpanan bersih dalam SSPN1M, SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus berjumlah RM500 kepada anak di sekolah rendah, layak menerima GS500 iaitu deposit percuma bernilai RM500.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com