UMNO Perlu Pimpinan Baharu – Khairy Jamaluddin


KUALA LUMPUR – “UMNO memerlukan satu barisan kepimpinan baharu yang mampu memulihkan parti untuk menarik semula kepercayaan rakyat,” kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu juga berkata pimpinan parti yang baharu itu tidak semestinya datang daripada golongan muda tetapi mereka yang mempunyai kredibiliti tinggi dan idea-idea yang membangun.

“Ini bukan soal muda atau kekalkan yang lama, apa yang penting sekarang ialah UMNO mesti dipimpin oleh individu yang bijaksana,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Pada Sabtu lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN di persada pemerintahan negara berakhir apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen.

BN turut hilang kuasa di Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Sabah.

Sementara itu, Khairy berkata beliau menyerahkan keputusan kepada kerajaan yang baharu sama ada ingin meneruskan atau mengakhiri program dan dasar kerajaan sebelum ini termasuk Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Jika mereka berpendapat bahawa program tersebut boleh diguna maka mereka boleh meneruskannya, tetapi jika mereka rasakan program tersebut sudah tidak relevan maka tak perlu.

“Cuma saya harapkan perkara ini boleh dilihat secara kebaikan objektif melalui penilaian yang profesional,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com