Ukir Mall Alor Setar Makin Suram


ALOR SETAR - Perpindahan keluar peniaga Pekan Rabu dari Ukir Mall menyebabkan premis di situ makin suram.

Tinjauan mendapati, Ukir Mall kini lengang tanpa kehadiran pengunjung berikutan deretan kedai dibina sementara untuk peniaga Pekan Rabu di ruang tengah bangunan itu kosong tanpa peniaga.

Manakala, ada kedai yang masih tinggal pula terlindung di sebalik deretan kedai kosong, sekali gus menyebabkan ada pengunjung tidak menyedari kewujudan premis itu.

Peniaga, Abdul Rahman Daud, 60, berkata, daripada 98 penyewa berdaftar di bangunan berkenaan, hanya tinggal kira-kira 10 kedai masih beroperasi di sini.

Menurutnya, ada sebilangan peniaga Ukir Mall turut mengikuti jejak peniaga Pekan Rabu keluar berpindah tapak asal mereka sebelum ini sejak akhir Mac.

“Jadi, tinggallah kami berapa kerat berniaga di sini. Tingkat bawah ada dua, tiga kedai buka. Tingkat satu pun begitu dan seterusnya.

“Jadi, apabila pengunjung datang, tengok banyak kedai tutup, mereka pun beredarlah ingat kata semua kedai di Ukir Mall tidak buka,” katanya.

Abdul Rahman berkata, ada bas membawa rombongan pengunjung singgah beberapa kali di Ukir Mall, bagaimanapun segera beredar apabila mendapati banyak kedai tutup.

“Yang tinggal beberapa kedai sahaja, antaranya pakaian dan gunting rambut. Yang lain, pakat tutup. Sekarang bukan takat nampak kosong, tapi muram tanpa pengunjung,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dapat membantu dan membela nasib peniaga Ukir Mall yang menerima kesan akibat kekurangan pelanggan itu.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com